PEMIMPIN Korea Utara Kim Jong-Un memberi tabik hormat ketika pasukan bala tenteranya berarak diikuti kereta kebal dan pelbagai peralatan perang di Pyongyang sebagai menunjukkan kekuatan ketenteraan negara itu, dengan program nuklearnya menyebabkan keadaan semakin tegang.
Selepas memeriksa pasukan kehormat, Jong-Un yang berpakaian suit hitam, menyaksikan perbarisan memasuki Dataran Kim Il-Sung diiringi pemimpin tertinggi tentera dan parti, disiarkan secara langsung menerusi televisyen nasional.
Diketuai berbaris-baris tentera, askar memegang senapang dan anggota wanita berbaris sambil memegang pedang, mereka memasuki kawasan dataran di tengah ibu kota itu yang dihiasi dengan warna kebangsaan, biru, putih dan merah.
“Perarakan hari ini memberi peluang untuk menayang kekuatan kuasa ketenteraan kita,” kata suara penyampai di televisyen nasional.
Dikatakan, acara itu sebagai meraikan hari ulang tahun ke-105 datuk Jong-Un, pengasas Korea Utara Kim Il-Sung – tarikh yang dikenali sebagai “Hari Matahari” di negara itu.
Tetapi ia juga sebenarnya berniat untuk menghantar mesej kepada Washington mengenai pengasingan, kekuatan tentera nuklear Korea Utara.
Jong-Un tidak berucap pada himpunan itu, tetapi pegawai khasnya Choe Ryong-Hae menyampaikan ucapan berkata Pyongyang akan bertindak balas terhadap sebarang provokasi – sama ada nuklear atau tidak.
“Kami bersedia untuk respons terhadap perang dan bersedia membalas balik dengan serangan nuklear gaya kami terhadap sebarang serangan nuklear,” kata Choe.
Pyongyang berada di bawah beberapa sekatan Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu berkaitan program senjata atom dan balistik, serta cita-citanya membina roket yang mampu menghantar peledak ke AS – sesuatu yang Presiden Donald Trump tegaskan “tidak akan berlaku”.
Korea Utara sudah menjalankan lima ujian nuklear – dua pada tahun lalu – dan beberapa pelancaran senjata, salah satunya menyaksikan tiga roket jatuh di perairan yang terlalu hampir dengan Jepun, bulan lalu. – AFP, 15 April, 2017.
Komen