SAM bimbang sumber perikanan negara di paras kritikal


SAHABAT Alam Malaysia (SAM) menyokong Jabatan Perikanan mempergiatkan usaha bagi melaksanakan Pelan Pengurusan Perikanan untuk mengatasi masalah kemerosotan sumber perikanan dan pemuliharaannya di perairan negara ini.

Walaupun langkah tersebut agak lambat namun SAM berharap ia perlu disegerakan demi kehidupan masyarakat nelayan dan rakyat keseluruhannya.

Mengulas kenyataan Ketua Pengarah Perikanan Munir Mohd Nawi mengenai perkara itu baru-baru ini, SAM bimbang dengan kedudukan terkini stok ikan di perairan Semenanjung Malaysia yang hanya boleh bertahan dalam tempoh 30 tahun saja lagi.

SAM mendapati masalah ini bukan hanya disebabkan oleh pencerobohan nelayan asing tetapi juga akibat aktiviti pencerobohan bot pukat tunda tempatan di kawasan nelayan pantai.

Kelemahan penguatkuasaan Akta Perikanan 1985 adalah antara sebab ancaman yang berlarutan sejak tahun 60-an itu masih berterusan.

Di samping pukat tunda yang membunuh anak-anak ikan (benih), penggunaan pukat sorong, pukat siput, pukat kisa, pukat apollo dan bubu naga juga telah menyebabkan dasar laut tercemar dan benih ikan tidak dapat membiak.

Penyumbang lain kepada masalah ini ialah kemusnahan hutan paya bakau, kerja-kerja penambakan laut, pencemaran sisa kimia dan penggunaan bahan terlarang seperti tuba dan arus letrik.

Projek akuakultur misalnya bukan saja memusnahkan hutan paya bakau dengan meluas tetapi juga mendorong kepada peningkatan tangkapan anak ikan (ikan baja) sebagai makanan ternakan projek berkenaan.

Bagi memulihkan keadaan sumber perikanan yang semakin meruncing ini SAM mencadangkan supaya tindakan bersepadu dilakukan oleh semua jabatan serta agensi yang terlibat.

Peralatan tangkapan yang mengancam sumber perikanan terutama pukat tunda perlu diharamkan penggunaannya dalam sektor perikanan di negara ini. Manakala projek pembangunan yang melibatkan kawasan pembiakan hidupan laut dan hutan paya bakau hendaklah dihentikan.

SAM kesal berikutan ancaman ke atas sumber perikanan yang berlaku ini hasil tangkapan nelayan pantai telah  merosot melebihi 50% setiap kali turut ke laut dan keadaan itu sekali gus menjejaskan kehidupan golongan berkenaan. – 18 Julai, 2019


* Meenakshi Raman merupakan Presiden Sahabat Alam Malaysia (SAM).    

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen