Timbalan presiden PRS mungkin tak bertanding PRU14 


Desmond Davidson

Ahli Parlimen Selangau Joseph Entulu Belaun gagal mendapatkan pengesahan yang diperlukan dari ahli-ahli dewan undangan negeri di kawasannya. – Rakam layar YouTube, 2 Oktober, 2017.

AHLI Parlimen Selangau bagi tiga penggal, Joseph Entulu Belaun mungkin tidak akan bertanding pada pilihan raya umum akan datang selepas gagal mendapatkan pengesahan yang diperlukan dari ahli-ahli dewan undangan negeri di kawasannya, kata Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) James Masing.

Masing berkata Ahli Dewan Undangan Negeri Kakus, John Sike Tayai dan Ahli Dewan Undangan Negeri Tamin, Christopher Gira Sambang enggan menyokong Entulu, seorang menteri di Jabatan Ketua Menteri untuk mempertahankan kerusinya.

Ketiga-tiga mereka adalah ahli PRS dengan Entulu sebagai timbalan presiden.

Sikie yang juga menteri di Jabatan Ketua Menteri dan Gira telah menyokong orang lain, kata Masing.

Masing berkata ahli-ahli parlimen mesti disokong wakil rakyat untuk bertanding dalam pilihan raya.

Beliau berkata apabila ahli-ahli Parlimen dari kawasan tertentu mengesahkan calon atau penyandang jawatan, beliau “tiada pilihan lain selain dari mengesahkannya juga”.

“Ini kerana pengesahan datang daripada mereka yang mendapat sokongan majoriti di kawasan itu.

“Saya tak boleh sahkan individu itu sebagai calon parti yang tidak mendapat sokongan wakil-wakil rakyat di akwasan masing-masing.”

Beliau berkata jika semua ADUN tidak mahu menyokong pencalonan penyandangnya, mereka akan diminta untuk menamakan calon alternatif yang “disifatkan mendapat sokongan akar umbi”.

Persoalan mengenai masa depan politik Entulu menambahkan khabar angin mengenai perselisihan antara Masing dengan timbalannya.

Entulu kali pertama bertanding di kerusi Selangau pada 2004 sebagai calon Parti Bansa Dayak Sarawak (PBDS). 

Beliau menyertai PRS selepas pendaftaran PBDS dibatalkan pada 2004 dan menang tanpa bertanding dalam pilihan raya umum tahun itu.

Dalam pilihan raya umum pada 2013, Entulu mengalahkan lawannya Joshua Jabeng dari PKR.

Seorang lagi wakil yang gagal dicalonkan untuk mempertahankan kerusinya ialah Ahli Parlimen Lubok Antu William Nyalau Badak.

ADUN PRS di kerusi Nyalau iaitu Menteri Muda Pembangunan Perindustrian dan Pembangunan Usahawan Malcolm Mussem Lamoh memilih supaya Nyalau digantikan.

Satu lagi kerusi negeri di Lubok Antu, Engkili dipegang Johnical Rayong Ngipa dari Parti Bersatu (UPP).

Rayong dilaporkan bertemu ketua-ketua rumah panjang di kawasan itu bagi meyakinkan mereka untuk menyokong pencalonan semula Nyalau. Kempen itu disifatkan PRS sama seperti Rayong mengganggu hal ehwal dalaman pihak lain.

Dalam pilihan raya umum pada 2013, PRS menang kesemua enam kerusi yang diperuntukkan. Mereka adalah Sri Aman (Timbalan Menteri Dalam Negeri Masir Kujat), Julau (Joseph Salang Gandum), Kanowit (Aaron Ago Dagang), Hulu Rajang (Wilson Ugak Kumbong), Selangau dan Lubok Antu. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen