Hamid nafi polis ditekan siasat skandal video seks


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador menegaskan polis tidak menerima tekanan atau arahan dalam siasatan video seks dikaitkan dengan Azmin Ali. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 18 Julai, 2019.

POLIS tidak menerima tekanan atau arahan daripada sebarang pihak berhubung siasatan video seks yang dikaitkan dengan seorang menteri, kata Ketua Polis Negara Abdul Hamid Bador.

Menurutnya, polis bebas dalam menjalankan siasatan penularan video seks itu.

“Saya sudah jelaskan, tiada campur tangan dari mana-mana pihak. Saya tidak terima tekanan daripada sesiapapun.

“Kami tegas dalam menjalankan siasatan mengikut prosedur operasi standard (SOP),” katanya pada sidang media selepas membuat lawatan rasmi ke Markas Angkatan Tentera Malaysia, hari ini.

Ketika ditanya mengenai ketulenan video seks itu, Hamid berkata polis akan mengeluarkan kenyataan rasmi tidak lama lagi.

Hamid turut menafikan dakwaan Majlis Pimpinan PKR Perak yang Farhash Wafa Salvador Rizal Mubarak tidak diberi makan ketika 24 jam dalam tahanan polis.

“Itu semua dakwaan yang tidak betul,” katanya.

Kelmarin, Farhash yang merupakan pengerusi PKR Perak adalah antara tiga orang yang ditahan berhubung kes penyebaran video seks membabitkan bekas ketua Pemuda PKR Santubong Haziq Abdullah Abdul Aziz.

Farhash, 37, yang juga setiausaha politik Anwar Ibrahim serta dua rakannya ditahan Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, di sebuah rumah teres di Pasir Gudang, Johor.

Mereka kemudian dibawa ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Seri Alam, Johor.

Dengan penangkapan itu, jumlah tangkapan dalam siasatan berkaitan skandal itu adalah sebanyak sembilan orang.

Enam individu lain termasuk Haziq ditahan reman lebih awal untuk membantu siasatan berhubung penyebaran video seks yang melibatkan Azmin.

Difahamkan mereka disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan bahan pornografi.

Bulan lalu, satu siri rakaman menunjukkan dua lelaki terlibat dalam perbuatan seksual tersebar di WhatsApp.

Haziq kemudian membuat pengakuan terbuka, mengaku sebagai salah seorang pelaku dalam video itu, dan mendakwa lelaki bersamanya adalah Azmin.

Azmin menafikan dakwaan itu, menyifatkan ia cubaan untuk memusnahkan kerjaya politiknya.

Ini adalah kali kedua Haziq ditahan berkaitan kes itu. Bulan lepas, beliau ditangkap dan ditahan polis ketika cuba menaiki penerangan antarabangsa di Klia sebelum dibebaskan dengan jaminan polis. – 18 Julai, 2019. 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen