Presiden Singapura setuju pindah dari flat, akhirnya 


Halimah Yacob adalah presiden Singapura yang kelapan dan juga presiden Melayu pertama dalam masa 47 tahun. – Gambar EPA, 2 Oktober, 2017.

HALIMAH Yacob, yang terpilih jadi Presiden Singapura dua minggu lalu, akhirnya akan berpindah dari flat besarnya ke kediaman rasmi atas faktor-faktor keselamatan, lapor media republik itu.

Halimah sehingga ini masih tinggal di unit flatnya, yang diubah suai dua unit dipecah dan disambung jadi sebuah, dan disifatkan oleh suaminya, Mohamed Abdullah Alhabshee “besar macam penthouse”. Mereka tinggal di situ sejak lebih 20 tahun lalu.

Kementerian Dalam Negeri dalam satu kenyataan menyebut ia sudah meneliti aspek keselamatan untuk presiden dan memaklumkan kepada Halimah mereka berdepan “cabaran untuk memastikan keselamatan dan perlindungan” untuknya.

Kementerian itu juga menasihati Halimah untuk berpindah demi keselamatannya.

“Presiden menerima cadangan keselamatan KDN. Beliau akan berpindah ke tempat baru tidak lama lagi,” kata kenyataan itu.

Selepas terpilih jadi presiden pada 13 September lalu, Halimah berkata beliau mahu terus tinggal di flat itu.

Keputusan itu menyebabkan kerajaan Singapura terpaksa mengatur kawalan keselamatan di kawasan flat di Yishun Avenue 4 itu.

KDN Singapura tidak memaklumkan butiran lanjut tentang perpindahan itu, ke mana dan bila mereka akan berpindah.

Menurut media, walaupun Istana adalah kediaman dan pejabat rasmi presiden, tidak pernah ada presiden yang tinggal di situ kecuali Presiden pertama Yusof Ishak.

Halimah dalam kenyataannya di Facebook mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang prihatin akan keselamatannya.

Katanya, keputusan berpindah dari flat itu dibuat “selepas berbincang dengan kerajaan.”

Kehadiran anggota keselamatan di kawasan rumah pangsa di Yishun itu sejak dua minggu lalu menimbulkan kesulitan kepada banyak pihak.

Selain tempat letak kenderaan berkurangan kerana diguna oleh kenderaan polis, orang yang keluar masuk kawasan itu juga perlu melalui pemeriksaan, lapor media Singapura.

Seorang warga Singapura baru-baru ini juga menulis sepucuk surat terbuka kepada Halimah melalui media sosial merayu presiden itu menimbang untuk berpindah kerana keputusannya kekal tinggal di flat itu bukan saja menyusahkan penduduk lain tetapi membazir wang negara kerana perbelanjaan yang sebenarnya boleh dielak.

Halimah adalah presiden Singapura yang kelapan dan juga presiden Melayu pertama dalam masa 47 tahun.

Sementara itu, jiran Halimah, Chris Toh, 50, berkata beliau sedih dan mengaku akan merindui jirannya yang “peramah” itu.

“Halimah selalu tersenyum dan suka berbual dengan kami. Saya dengar berita dia hendak pindah pun saya sudah rasa rindu. Saya ada rasa dia tidak akan balik ke sini lagi.”

Keputusan Halimah tinggal di Yishun sebelum ini juga menimbulkan kontroversi selepas broker hartanah mengiklankan rumah di sekitarnya sebagai “Yistana” iaitu gabungan antara Yishun dan Istana, lapor Today Online. – 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen