Saintis AS kaji jam badan menang Hadiah Nobel Perubatan


Tiga saintis kelahiran Amerika Syarikat Jeffrey C. Hall, Michael Rosbash dan Michael Young (gambar pada display) menemui mekanisme molekul yang mengawal jam biologi manusia yang menjelaskan punca kenapa orang yang merentas beberapa zon waktu mengalami lamban jet (jet lag). – Gambar AFP, 2 Oktober, 2017.

TIGA saintis kelahiran Amerika Syarikat yang membuat penemuan tentang mekanisme molekul yang mengawal jam biologi manusia diberi Hadiah Nobel untuk Fisiologi atau Perubatan tahun ini.

Mekanisme itu membantu menjelaskan punca kenapa orang yang merentas beberapa zon waktu mengalami lamban jet (jet lag) serta kesannya kepada kesihatan manusia termasuk risiko dapat penyakit tertentu.

Tiga saintis itu ialah Jeffrey C. Hall, Michael Rosbash dan Michael Young.

Dewan Nobel menyifatkan penemuan tiga saintis itu menjelaskan “bagaimana tumbuh-tumbuhan, haiwan dan manusia menyesuaikan ritma biologi mereka agar ia selari dengan perkembangan Bumi.”

Mereka mengenal pasti gen pada lalat buah yang mengawal susun atur jam harian serangga itu. Gen itu menukar protein dalam sel pada malam hari yang kemudian berkurangan pada sebelah siang.

“Jam biologi itu mengawal fungsi kritikal seperti tingkah laku, tahap hormon, tabiat tidur, suhu badan dan metabolisme,” kata dewan itu.

Tiga saintis berkenaan menerima hadiah wang tunai berjumlah 9 juta crown Sweden (anggaran RM4.6 juta).

Perubatan adalah hadiah Nobel yang pertama diumumkan setiap tahun. Hadiah itu dan hadiah lain bagi pencapaian dalam bidang sains, sastera, ekonomi dan keamanan adalah wasiat daripada hartawan Alfred Nobel dan dianugerahkan sejak 1901.

Hadiah Nobel Perubatan pernah diberikan pada penemuan penting dalam sejarah manusia termasuk penisilin dan jenis darah, yang menyembuhkan banyak penyakit. – Agensi, 2 Oktober 2017


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen