Sekolah yang membunuh harapan, sekolah yang menumbuhkan impian


ZF Zamir

PETANG itu saya sampai ke Selayang sekitar jam 2 petang. Kami duduk minum di kedai mamak dan berbual mengenai beberapa perkara yang kurang penting sebelum naik ke Kelembai Studio. Selayang seperti 7 tahun yang lalu, terhimpit dengan pembangunan tak terancang dan kerakusan kontraktor pembinaan yang lebih banyak meninggalkan bangunan tak siap daripada bangunan yang siap sepenuhnya. 

Saya pernah menetap di Casa Mila 7 tahun lalu, ketika menumpang di rumah kakak sewaktu bertugas pertama kali di sebuah sekolah rendah di Wangsa Maju. Tetapi ya, itu kisah yang berlainan.

Di dalam studio saya diperkenalkan dengan sistem ‘motion capture’. Jujurnya, saya yang tidak berada dalam bidang animasi kurang mengerti entusias pendiri sekolah ini, Abang Hanan yang saya kenali lewat rakan penulis iaitu Raiha Bahaudin. Kami kemudian menjadi lebih rapat ketika Kak Raiha menjadi salah seorang sukarelawan The Wakaf Buku.

Kelembai School of Animation masih belum beroperasi. Tetapi apabila beroperasi pada tahun hadapan, sekolah ini akan menawarkan kursus artis multimedia-animator dengan kod kursus IT-040-2. Untuk mereka yang belum mengetahui, kursus-kursus kemahiran seperti ini boleh dipelajari seawal tamatnya peperiksaan PT3. 

Ini bermakna jika kita berjaya mengenal pasti kecenderungan dan bakat anak lebih awal, mereka tidak perlu membuang masa untuk menduduki tahun persediaan untuk peperiksaan SPM iaitu Tingkatan 4 atau seterusnya mengambil SPM itu sendiri.

Mengapa perlu ambil SPM jika mereka boleh menyelesaikan diploma dalam bidang yang lebih menjamin masa depan? Bahkan Menteri Pendidikan Tinggi sendiri pada 30 April 2017 menyatakan kebolehpasaran lulusan Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) lebih tinggi berbanding lulusan institut pendidikan tinggi yang memilih bidang akademik. 

Berdasarkan statistik tahun 2016, kebolehpasaran lulusan TVET adalah antara tujuh hingga lapan peratus setahun mengatasi perkembangan aliran akademik iaitu hanya dua hingga tiga peratus sahaja. Kata Idris Jusoh: “Kebolehpasaran pelajar Kolej Komuniti ialah 97 peratus, pelajar Politeknik pula 88 peratus manakala universiti biasa hanya 76 peratus… jadi kita lihat perbezaannya di situ.”

Ini mengingatkan saya kepada perbualan dengan dua aktivis pendidikan di Bangi beberapa minggu yang lalu. Kami — saya, Jia Hong dan Edmond Yap — berbual mengenai cita-cita kami bertiga untuk membuka sekolah masing-masing. 

Jia Hong sebenarnya sudahpun menggenggam impiannya apabila membuka Acton Academy di Petaling Jaya pada tahun lalu. Edmond Yap pula bakal membuka Sekolah Kita, sebuah sekolah yang menggunapakai ‘project-based learning’ sebagai falsafahnya. 

Acton Academy versi Jia Hong pula adalah lanjutan daripada Acton Academy yang diasaskan di Amerika, mengguna pakai falsafah ‘disruptive learning’ dengan memandu pembelajaran menggunakan motivasi pelajar dengan menghilangkan fungsi guru. 

Di Acton, anak-anak belajar sendiri apakah ruang yang mahu diterokai dan membuat keputusan sendiri terhadap sistem pembelajaran mereka. Guru hanya berfungsi sebagai fasilitator dan bukan sebagai tenaga pengajar. 

Sekolah Kita yang bakal dibuka oleh Edmond pula lebih menarik kerana pengajaran dan pembelajaran setiap hari berasaskan projek. Ini bermakna subjek dan nilai akan diajar dan diselesaikan sendiri oleh anak-anak melalui pengalaman mereka sendiri dalam menyelesaikan masalah untuk menyiapkan projek tersebut. 

Ini sebenarnya adalah idea yang selari dengan konsep ‘home-schooling’ dan sekian banyak konsep-konsep kurikulum masa depan yang lain iaitu mengurangkan kuasa institusi ke atas anak-anak dalam pendidikan. 

Dalam pedagogi tradisional, anak-anak perlu duduk di atas kerusi dan mendengar guru mengajar. Mereka tidak dibenarkan memilih subjek atau ruang untuk mereka terokai. Kesemua aspek pembelajaran dan elemen nilai telah disediakan oleh institusi seperti Kementerian Pendidikan melalui guru-guru di sekolah 

Hari ini, idea ‘self education’ adalah idea yang tidak lagi asing. Dalam masa beberapa tahun ke depan, lebih banyak sekolah dengan konsep terbuka seperti ini akan didirikan, meninggalkan sekolah-sekolah kerajaan yang dikuasai oleh kementerian jauh ke belakang. Dalam masa 3 tahun saja lagi, model sekolah kebangsaan versi kerajaan akan menjadi bukti betapa sistem pendidikan nasional kita adalah sebuah sistem prasejarah kerana gagal berkomunikasi dengan keperluan perubahan globalisasi. 

Dan hari ini kita tertanya-tanya ketika anak kita merempit pada malam minggu, belajar menghisap rokok di sekolah dan mula melakukan jenayah seksual seawal sekolah rendah, apakah yang telah mereka pelajari di sekolah? 

Malah sepatutnya hari ini, proses mendidik bukan saja perlu digembleng terhadap anak-anak, tetapi juga kepada ibu bapa untuk memahamkan mereka bahawa fokus TVET dan latihan kemahiran juga sama penting dengan pendidikan akademik seperti SPM. 

Hari ini realitinya seperti dikongsikan oleh Kak Raiha, hanya 82,064 kekosongan kerja yang tersedia berbanding 132,022 orang lepasan ijazah untuk tahun 2017 seperti dikongsikan oleh Kementerian Sumber Manusia. Jadi yang anak-anak kita berpusu-pusu dan berlumba-lumba mengambil ijazah pada hari ini untuk apa, jika mereka tidak disediakan ruang pekerjaan?

Lebih menarik dikongsikan oleh Kak Raiha, anak-anak sekolah kemahiran selalunya ditempah oleh industri lebih awal kerana ‘tailored program’ diyakini berupaya memenuhi keperluan mereka. Perbahasan ini adalah perbahasan ringkas, dan kita masih belum menempuh perbahasan ilmiah mengenai falsafah kepada idea ‘disruptive education’ terhadap sosio-ekonomi masyarakat dan kesannya terhadap golongan menengah dan bawahan. 

Tetapi di saat dunia sudah bergerak laju untuk membahas idea melenyapkan institusi pendidikan dan membebaskan pendidikan dari cengkaman institusi seperti kementerian dan meletakkannya ke dalam tangan anak-anak sendiri, adakah mereka yang menyelenggara pendidikan nasional anak-anak kita sudah memahami trend dan mempunyai solusi atau alternatif kepada perbahasan ini? 

Dan hari ini, anak-anak kita merempit kerana mereka hilang harapan. Kemahiran mereka tidak dihargai. Ketika berdepan 1,001 masalah sosial mereka, akhirnya kita bertindak untuk menghantar mereka ke sekolah-sekolah tahfiz dengan tujuan akhlak mereka dapat dibaiki. 

Kita lupa, sekolah-sekolah agama dan industri ustaz ini adalah salah satu daripada pedagogi yang ketinggalan zaman. Di seluruh negara, di sekolah-sekolah kebangsaan, anak-anak kita semua hilang harapan kerana hidup mereka telah ditentukan oleh kementerian dan kerajaan. Kita masih tidak mahu bergerak untuk mengubah semua ini.

Kata Freire di dalam Pedagogy of Solidarity: “Salah satu ketakutan terbesar saya adalah apabila manusia jatuh ke dalam penyerahan apabila kita semua hilang upaya untuk mempunyai impian dan cita-cita, dan ini adalah sesuatu yang sangat tragik. 

“Hari ini ratusan juta orang tidak memiliki kerja. Ini adalah absurd, dan adalah tidak bermoral jika kita menamatkan abad ke-20 dengan jutaan orang berada dalam keadaan yang sangat teruk. 

“Dan jika intelektual pascamoden masih mengatakan kepada kita bahawa inilah realitinya, bahawa impian sebenarnya tidak wujud – dan jika seluruh saintis di dunia cuba membuktikan kepada kita perkara ini, saya akan menjadi orang terakhir untuk mengatakan bahawa ini bukanlah satu-satunya realiti yang boleh kita bayangkan. 

“Realiti boleh diubah dan perlu diubah. Impian saya masih hidup dan menyala, dan dengan itu biar saya sebutkan semula, jangan berhenti berharap. Jangan biarkan ideologi fatal ini membunuh keperluan kita semua untuk bermimpi.” – 2 Oktober, 2017.

* ZF Zamir ialah penulis buku ‘Sekolah Bukan Penjara, Universiti Bukan Kilang’ dan pengasas bersama NGO Teach For The Needs (TFTN) dan The Wakaf Buku (TWB). Sebelum ini juga beliau mengetuai badan penerbitan Thukul Cetak sehingga 2017 sebelum meletakkan jawatan sebagai CEO untuk meneruskan projek terbaru beliau iaitu Akademi Thukul.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen