LEBIH 50 orang dilaporkan terbunuh dan 515 lagi cedera dalam insiden tembakan berlaku pada Ahad, di luar Hotel Mandalay Bay, Las Vegas ketika satu konsert sedang berlangsung yang turut disifatkan polis sebagai yang terburuk dalam sejarah insiden tembakan di Amerika Syarikat.
Tiada rakyat Malaysia dilaporkan terbabit dalam kejadian serangan tembakan itu dan Wisma Putra telah menghubungi Kedutaan Malaysia di AS bagi mengesahkan maklumat itu termasuk untuk mendapatkan perkembangan lanjut insiden berkenaan.
“Kami melihat lebih daripada 50 orang mati dan 515 orang cedera pada ketika ini,” kata ketua polis Metro Las Vegas Joseph Lombardo selepas insiden tembakan di sebuah festival muzik di hab perjudian Nevada itu.
Lombardo berkata, suspek terbabit yang ditemui mati sebaik sahaja polis bertindak selepas menerima maklumat disahkan sebagai warga tempatan bernama Stephen Paddock, 64.
Polis juga percaya mereka berjaya mengesan teman wanita suspek yang terdahulu dinamakan sebagai orang yang dikehendaki.

Sementara itu saluran berita ABC 7 melaporkan ratusan das tembakan dilepaskan ketika insiden itu berlaku.
Antara yang terbunuh termasuk dua anggota polis yang tidak bertugas.
Polis juga percaya penembak terbabit bertindak membunuh diri sebelum anggota polis memecah masuk ke bilik hotelnya.
“Kami percaya individu terbabit membunuh diri sebaik sahaja kami memecah masuk,” kata Joseph.
Katanya polis turut menemui 10 raifel ketika memasuki bilik hotel di tingkat 32 yang enjadi tempat penembak melepaskan tembakan ke arah pengunjung konsert.
Menurut saksi, mereka melihat “percikan api” dari tingkat atas hotel berkenaan. Rakaman video menunjukkan pengunjung konsert lari bertempiaran ketika tembakan kedengaran.
Dilaporkan jenis senjata api yang menghasilkan bunyi bising seperti dirakamkan dalam video berkenaan sukar untuk didapati di kedai menjual senjata di Amerika Syarikat.
Media menyebut konsert itu dihadiri lebih kurang 40,000 penonton. – AFP, 2 Oktober, 2017.
Komen