Undi 18, pendidikan demokrasi kenegaraan dan model politik baharu


USAHA kerajaan untuk membolehkan rakyat Malaysia mula mengundi pada umur 18 tahun dan ke atas melalui pindaan Perkara 119 (1)(a) Perlembagaan Persekutuan adalah suatu usaha yang wajar dipuji.

Apatah lagi, usaha ini menjadi sejarah apabila blok pembangkang menyatakan sokongan kepada cadangan pindaan Perlembagaan ini termasuk bersama usaha membolehkan calon pilihan raya semuda usia 18 tahun dibenarkan bertanding dalam mana-mana pilihan raya.

Ternyata sokongan majoriti ahli Dewan Rakyat khususnya 211 anggotanya kepada usul ini adalah suatu tanda muafakat Malaysia mula bergerak ke arah pengukuhan Model Politik Baharu Malaysia.

Tahniah buat semua ahli Parlimen Pakatan Harapan (PH) (PKR, Bersatu, DAP, Amanah), Umno-BN, PAS, GPS dan lain-lain parti atas muafakat murni ini demi manfaat demokrasi negara.

Usaha mendukung hasrat pendaftaran pengundi secara automatik juga adalah wajar memandangkan ianya ternyata memberi ruang lebih besar kepada rakyat Malaysia untuk menyertai proses demokrasi ini.

Maka, pantas ruang ini perlu diambil oleh Pemuda PH termasuk PKR bagi memulakan agenda pendidikan demokrasi, kenegaraan dan Rukun Negara yang tepat bagi membolehkan generasi muda khususnya dan rakyat Malaysia amnya mendapat pengisian yang sewajarnya bagi membolehkan mereka menjadi pengundi yang bijaksana dan bertanggungjawab seterusnya memaknai ruang demokrasi yang ada secara holistik.

Siri Jelajah Pendidikan Demokrasi Kenegaraan mesti mengisi ruang-ruang masa dan gerakan bagi membolehkan kita turut serta dalam proses mengukuhkan kematangan demokrasi negara.

Model Politik Baharu Malaysia juga wajar direncanakan bagi memberikan makna yang lebih holistik terhadap masa depan ekonomi, pendidikan dan kestabilan politik serta mampu memberi kesan terhadap usaha membina generasi muda Malaysia yang bertanggungjawab dan berwibawa.

Semoga pindaan Perlembagaan ini yang menjadi usaha kerajaan PH di bawah pimpinan Dr Mahathir Mohamad melalui RUU Perlembagaan (Pindaan) 2019 dan juga usaha penerangan gigih oleh Menteri Belia dan Sukan Syed Saddiq yang mendapat dukungan penuh seluruh anggota Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia yang berada di luar dewan dapat diteruskan dengan lancar menerusi fasa pelaksanaan pendidikan demokrasi kenegaraan itu sendiri.

Syabas Malaysia! – 17 Julai, 2019.

* Mohd Nazree Mohd Yunus ialah naib ketua Pemuda PKR Malaysia.

* Ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan rasmi The Malaysian Insight.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen