SULTAN Kelantan Sultan Muhammad V sudahpun bercerai dengan pasangannya Rihana Oksana Voevodina pada 1 Julai, lapor The New Straits Times.
Laporan itu memetik kenyataan sumber yang mengesahkan perceraian itu dimuktamadkan di Mahkamah Syariah Singapura selepas dokumen berkaitan difailkan pada 22 Jun.
Pasangan itu berkahwin dalam majlis tertutup di Rusia pada 7 Jun tahun lalu sewaktu Sultan Muhammad masih bertakhta sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15.
Baginda turun takhta Yang di-Pertuan Agong pada 6 Januari dan meneruskan tugas sebagai Sultan Kelantan.
Satu dokumen didakwa perakuan perceraian tersebut juga dikesan tersebar di media sosial sejak awal minggu ini.
Istana Kelantan semalam menegaskan tiada mana-mana pihak patut digelar sebagai Permaisuri Kelantan, Raja Perempuan Kelantan atau Queen of Kelantan.
Ia turut menegaskan, adinda Sultan Muhammad V, Dr Tengku Muhammad Faiz Petra merupakan Tengku Mahkota dan bonda mereka Tengku Anis Tengku Abdul Hamid merupakan Raja Perempuan Kelantan.
Istana Kelantan turut menasihati media supaya tidak terpengaruh dengan sebaran yang tidak benar di media sosial, susulan kenyataan di satu akaun Instagram didakwa dikendalikan oleh Rihana Oksana.
Akaun Instagram itu antara lain menyiarkan butiran mengenai detik perkenalan wanita itu dengan Sultan Muhammad V sehingga membawa kepada perkahwinan.
Ia turut menyiarkan gambar anak lelaki pasangan tersebut dan menyatakan harapan wanita itu agar anak berkenaan akan menjadi raja di Malaysia. – 17 Julai, 2019.
Komen