Serangan di stesen kereta api Perancis mungkin angkara pengganas


Polis mengacu pistol ke arah seorang lelaki disyaki terbabit dalam kejadian tikaman di stesen kereta api Saint Charles di Marseille, Perancis. – Gambar AFP, 2 Oktober, 2017.

KEJADIAN dua wanita maut ditikam di stesen kereta api Saint Charles di Marseille, Perancis, mungkin mempunyai kaitan dengan pengganas, kata Menteri Dalam Negeri Perancis Gerard Collomb semalam.

Sehubungan itu, beliau meminta penduduk agar lebih berhati-hati, memandangkan siasatan masih dijalankan untuk mengenal pasti identiti sebenar penyerang selain menentukan motif serangan, lapor agensi berita China Xinhua.

“Tindakan itu mungkin dilakukan pengganas namun belum dapat disahkan lagi,” kata Collomb selepas melawat lokasi kejadian di Marseille, tenggara Perancis.

Pada masa sama, beliau turut mengecam tindakan itu yang disifatkannya sebagai perbuatan keji.

Dalam kejadian itu, seorang lelaki bersenjatakan pisau menikam dua wanita dan kemudian menyerang anggota tentera yang mengawasi kawasan berkenaan sebelum ditembak mati.

Berusia dalam lingkungan 20-an dan siasatan awal polis mendapati suspek mempunyai beberapa rekod jenayah seperti rompakan serta pengedaran dadah.

Risiko serangan pengganas berada pada tahap tinggi di Perancis, menyaksikan undang-undang darurat diperkenalkan pada 2015 selepas insiden 130 orang terbunuh dan 350 yang lain cedera dalam satu siri letupan dan tembakan didalangi kumpulan IS. – Bernama, 2 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen