Biar mahkamah tentukan identiti individu dalam video seks, kata polis


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ini kali kedua Muhammad Haziq Abdul Aziz ditahan berkaitan kes video seks, beliau ditangkap dan ditahan semalaman oleh polis bulan lalu. – Gambar fail The Malaysian Insight, 16 Julai, 2019.

IDENTITI individu dalam video seks didakwa membabitkan seorang menteri Kabinet hanya akan ditentukan di mahkamah kata Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman Huzir Mohamed.

Katanya polis sudah menerima laporan daripada agensi keselamatan siber, CyberSecurity berhubung ketulenan video berkenan namun identiti pelaku dan penyebarnya tidak dapat didedahkan.

“Kita sudah menerima laporan daripada CyberSecurity namun tidak akan mendedahkan butiran siasatan.

“Laporan hasil siasatan akan diserahkan kepada pejabat Peguam Negara (AG) untuk tindakan lanjut,” katanya kepada pemberita di Kuala Lumpur.

Huzir berkata polis sedang menjalankan siasatan lanjut termasuk menyoal siasat enam suspek yang ditahan reman selama enam hari berhubung video tersebut.

Jelasnya, tangkapan lain akan dilakukan sekiranya pihak polis mendapat maklumat baharu.

“Tangkapan baru dilakukan semalam, berilah kita masa untuk siasat dulu,” katanya.

Ketika ditanya, beliau berkata polis tiada maklumat mengenai lokasi didakwa perbincangan enam individu yang ditahan untuk menyebarkan video seks tersebut.

Enam individu termasuk bekas ketua Pemuda PKR Santubong Muhammad Haziq Abdul Aziz ditahan reman semalam.

Ia bagi membantu siasatan berhubung penyebaran video seks yang didakwa melibatkan Menteri Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin Ali.

Enam individu berkenan disiasat di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 kerana menyebarkan bahan pornografi.

Rakaman seks itu disebarkan melalui WhatsApp pada bulan lalu.

Haziq tampil mendakwa beliau salah seorang lelaki dalam video, dan Azmin adalah individu bersamanya.

Azmin menafikan dakwaan itu, menyifatkan ia cubaan untuk memusnahkan kerjayanya.

Ini kali kedua Haziq ditahan berkaitan kes itu. Beliau ditangkap dan ditahan semalaman oleh polis bulan lalu. – 16 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen