PUTRAJAYA menyita lebih RM1 bilion daripada China Petroleum Pipeline Engineering Ltd (CPP), selepas syarikat berkenaan gagal menyiapkan projek paip tenaga bernilai RM9.41 bilion, kata Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad.
Dr Mahathir berkata syarikat itu hanya menyiapkan 13% projek tersebut, tetapi sudah mengambil 80% bayaran daripada kerajaan.
“80% dibayar kepada syarikat tetapi hanya 13% projek disiapkan. Kerajaan berhak mengambil semula wang memandangkan projek sudah dibatalkan, kita mahukan wang daripada bahagian projek yang tidak dibuat,” katanya.
Sabtu lalu, dilaporkan yang Putrajaya merampas lebih RM1 bilion daripada syarikat milik China itu.
Awal bulan ini, kerajaan Pakatan Harapan mengarahkan bank HSBC memindahkan dana daripada akaun CPP di Malaysia kepada Suria Strategic Resources Sdn Bhd.
Suria Strategic adalah syarikat milik penuh Kementerian Kewangan.
Memetik sumber, laporan menyebut yang tindakan itu ada kaitan dengan pertikaian dua projek paip tenaga bernilai ratusan juta yang digantung pada Julai tahun lepas berkaitan 1Malaysia Development Bhd (1MDB). Selain akaun HSBC, akaun CPP di bank lain juga dibekukan Putrajaya.
CPP yang dianugerahkan kontrak sebagai kontraktor utama projek berkenaan pada November 2016 oleh kerajaan Barisan Nasional.
Dr Mahathir menjelaskan CPP mendapat projek tersebut melalui kontrak kerajaan.
Ditanya sama ada beliau bimbang hubungan Malaysia dan China akan terjejas kerana isu itu, beliau berkata tidak ada yang patut menimbulkan kemarahan kuasa besar ekonomi dunia itu.
“Kita hanya ambil duit daripada bahagian projek yang mereka tak siapkan. Bukan daripada bahagian yang sudah disiapkan.
“Saya tak nampak mengapa China akan tak puas hati,” katanya. – 15 Julai, 2019.
Komen