
TERTUDUH kes pembunuhan abang tiri Presiden Korea Utara Kim Jong-nam tidak mengaku bersalah dan minta dibicarakan pada hari pertama prosiding kes berprofil tinggi itu hari ini.
Siti Aisyah dan Doan Thi Huang hari ini dituduh di mahkamah Tinggi Shah Alam kerana membunuh Jong-nam yang turut dikenali sebagai Kim Chol menggunakan cecair beracun VX di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur 13 Februari lalu.
Tuduhan dibacakan dalam bahasa kebangsaan kedua-dua tertuduh pada jam 9.17 pagi.
Bagaimanapun, pihak peguam bela Siti Aisyah - warga Indonesia dan Huong - warga Vietnam membantah kerana tuduhan tidak jelas dan meminta pihak pendakwaan menamakan kesemua empat warga Korea Utara yang masih bebas dan terlibat dalam kes itu.
Hakim Azmi Ariffin kemudiannya memerintahkan prosiding berehat selama lima minit pada 10.03 pagi untuk berbincang sebelum perbicaraan disambung semula dan sebelum menolak permohonan tersebut.
Peguambela Doan Thi Huong, Naran Singh berkata amat tidak adil kepada pihak beliau kerana anak guamnya itu dituduh bersama empat individu yang masih tidak didedahkan identitinya.
“Itu alasan kami pagi tadi. Untuk kata anak guam kami dituduh bersama empat yang lain yang mempunyai niat sama membunuh si mati (Kim). Kami berhak tahu identiti mereka. Undang-undang cakap begitu, tapi hakim tak terima,” kata beliau di luar kamar ketika mahkamah berehat tengah hari tadi.
Huong bersama warga Indonesia Siti Aisyah dituduh membunuh Kim di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (klia2) bersama empat individu lain 13 Februari lalu.
16 Mac lalu, Polis memperoleh notis merah daripada Interpol bagi menahan empat rakyat Korea Utara dipercayai terbabit dalam kes pembunuhan abang tiri pemimpin Korea Utara Kim Jong Un.
Empat individu berkenaan ialah Rhi Ji-hyon, 33, Hong Song-hac, 34, O Jong-gil, 55, dan Ri Jae-nam, 57.
Kesemua mereka bagaimanapun telah melepaskan diri dari Malaysia dipercayai sebagai pertukaran bagi melepaskan 11 pekerja dan keluarga kedutaan Malaysia yang dihalang keluar dari Pyongyang sebelum itu.
Perkara itu turut disokong peguambela Siti Aisyah, Gooi Soon Seng.
“Kami membantah tuduhan ini kerana semua yang terlibat mempunyai niat sama,” kata beliau.
Sementara itu seorang lagi peguam Doan, Hisham Teh Poh Teik berkata pihaknya tidak akan mengalah.
“Ia tidak terlambat, kita masih boleh bermula kembali bila pasukan menyiasat ke mahkamah memberi bukti. Kita boleh mula sekali lagi (start afresh). Tak ada masalah bagi kami,” kata beliau.
Perbicaraan kemudiannya berlangsung dengan saksi pertama Lans Korporal Zulkarnain Sanudin dan saksi kedua Juliana Idris. – 2 Oktober, 2017.
Komen