Siasatan PAC bukti Najib kleptokrat


LAPORAN Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC) yang dibentangkan di Parlimen hari ini mengesahkan Najib Razak dan kerajaan lalu telah, secara asasnya, merompak RM19.4 bilion yang sepatutnya digunakan untuk pembayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST).

Khususnya, laporan tersebut mengesahkan tiga kesalahan besar yang dilakukan oleh Najib dan kerajaan yang lalu.

(1) Adakah pembayaran balik GST dilambatkan kerana PRU14?

Pertama, siasatan PAC mengesahkan terdapat kekurangan terkumpul sebanyak RM19.4 bilion akibat daripada keengganan Kementerian Kewangan untuk meluluskan wang pembayaran balik GST yang dipohon oleh Jabatan Kastam.

Sepertimana yang tertera dalam laporan PAC, pada 2015 dan 2016, jumlah wang pembayaran balik yang dipohon oleh Jabatan Kastam ialah masing-masing sebanyak RM9.969 bilion dan RM20.764 bilion. 

Untuk kedua-dua tahun tersebut, kerajaan memenuhi permohonan Jabatan Kastam, dimana RM9.969 bilion and RM20.164 bilion diluluskan dan dipindah ke dalam Akaun Pembayaran Balik GST pada 2015 dan 2016 masing-masing.

Tetapi, jurang yang besar mulai muncul pada 2017 da 2018. Pada 2017, Jabatan Kastam memohon RM38.000 bilion untuk pembayaran balik GST tetapi hanya RM25.300 bilion sahaja diluluskan. 

Pada 2018, jumlah yang dipohon sebelum Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14) ialah RM13.285 tetapi hanya RM5.800 bilion sahaja diluluskan.

Adakah Najib dan kerajaan yang lama telah secara sengajanya melambat-lambatkan pembayaran balik GST pada 2017 dan 2018 untuk membolehkan wang tersebut digunakan untuk PRU14? 

Memang diketahui umum pada PRU14 yang lepas, Barisan Nasional (BN) banyak menyalahgunakan wang dan sumber kerajaan untuk tujuan politik.

Sebagai contoh, Najib dan kerajaan yang lalu membayar RM30 juta kepada pekerja DRB-Hicom pada April 2018 walaupun Parlimen pada ketika itu sudah dibubarkan.

Pelbagai lagi program dan projek yang bersifat pemberian (handout) diluluskan sebelum PRU14 untuk mempengaruhi pengundi.

Perkara ini sudah pasti secara tidak langsung menyebabkan kerajaan tidak dapat menunaikan pembayaran balik GST.

(2) Menyalahi undang-undang kerana mengakaunkan wang daripada kutipan cukai GST secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan

Kedua, laporan PAC mengesahkan, menurut Seksyen 52(2) Akta GST 2014, wang yang dikutip daripada GST mesti diletakkan ke dalam Akaun Pembayaran Balik GST yang berfungsi sebagai sebuah akaun amanah. 

Najib dan kerajaan yang lalu tidak mematuhi peruntukan ini kerana wang yang dikutip daripada GST diakaunkan secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

Najib telah cuba mempertahankan tindakan ini dengan menggunakan Seksyen 54(5) Akta GST 2014, yang memberi kuasa kepada Menteri Kewangan untuk mengarahkan pemindahan wang daripada Akaun Pembayaran Balik GST ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

Justifikasi ini sememangnya tidak sah kerana wang yang dikutip daripada GST mesti dibayar ke dalam Akaun Pembayaran Balik GST terdahulu sebelum dipindahkan ke Kumpulan Wang Hasil Disatukan, bukannya secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan.

Dalam laporan PAC, peguam negara turut menyatakan tindakan meletakkan wang GST secara terus ke dalam Kumpulan Wang Hasil Disatukan ini adalah bertentangan dengan Akta GST 2014 dan prinsip-prinsip asas keamanahan dari segi undang-undang dan perakaunan.

(3) Merompak dan menyalahgunakan wang pembayaran balik GST

Ketiga, laporan PAC mengesahkan bahawa yang untuk pembayaran balik GST digunakan untuk perbelanjaan kerajaan yang lain.

Najib dan mantan ketua setiausaha Perbendaharaan, Irwan Serigar, mengaku kepada PAC bahawa jumlah pembayaran balik GST hanya akan ditetapkan setelah memenuhi keperluan aliran tunai untuk urusan perbelanjaan kerajaan.

Ini merupakan pengakuan jelas bahawa wang pembayaran balik GST dirompak kerana pada asasnya wang pembayar cukai telah ditahan dan diambil secara paksa.

Melalui kaedah ini, Najib dan kerajaan yang lalu berjaya memperolehi modal percuma tanpa faedah untuk kegunaan mereka. Pada masa yang sama, pembayar cukai terpaksa menanggung kesan tidak medapat pembayaran balik cukai GST.

Kesimpulannya, tindakan-tindakan Najib mencerminkan simptom seorang kleptokrat yang langsung tidak menghormati peruntukan undang-undang.

Hasil siasatan PAC menunjukkan Najib melanggar amanah yang diberikan oleh para pembayar cukai dengan merompak dan menyalahgunakan wang pembayaran balik cukai GST.

Saya bersetuju dengan pandangan peguam negara isu ini terbuka kepada suatu penyiasatan jenayah, dan oleh itu saya menyeru agar pihak polis dan pihak berkuasa yang lain mengambil tindakan dengan segera. – 15 Julai, 2019.

* Khoo Poay Tiong adalah ahli Parlimen Kota Melaka.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen