Dasar senarai hitam peminjam PTPTN diputuskan Ogos, kata Maszlee


SM Amin

Menteri Pendidikan Maszlee Malik berkata Kertas Konsultasi Rakyat akan dibentang ke Kabinet untuk putuskan mekanisme pembayaran balik PTPTN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 15 Julai, 2019.

TINDAKAN senarai hitam peminjam Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) yang ingkar hanya akan diputuskan pada Ogos nanti kata Menteri Pendidikan Maszlee Malik.

Maszlee berkata panel penasihat khas sedang memperhalusi Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) bagi memutuskan mekanisme pembayaran balik PTPTN daripada cadangan yang diterima.

“Sehingga kini kita belum laksanakan senarai hitam semula seperti mana yang pernah dilakukan sebelum ini.

“Satu Kertas Konsultasi Rakyat (KKR) akan dikemukakan dan dibentangkan kepada Kabinet bulan Ogos nanti. Di situ akan terdapat jawapan kepada semua persoalan nanti,” katanya di Dewan Rakyat hari ini.

Beliau menjawab soalan Mohd Shahar Abdullah (BN - Paya Besar) mengenai cara kerajaan menjaga kebajikan dan masa depan peminjam PTPTN untuk membuat pinjaman khususnya pinjaman rumah.

Mei lalu, Timbalan CEO PTPTN, Mastura Mohd Khalid memaklumkan perbadanan itu sedang meneliti beberapa cadangan untuk mengutip baki pinjaman itu yang akan dikemuka ke Kabinet.

Ia termasuk cadangan menyekat peminjam daripada memperbaharui pasport, lesen, cukai jalan dan lesen perniagaan.

Jelasnya, sekatan perjalanan merupakan kaedah paling berkesan oleh PTPTN dalam usaha mengumpul balik bayaran pinjaman daripada peminjam yang gagal membuat bayaran.

Cadangan tersebut merupakan hasil perbincangan antara PTPTN bersama beberapa kumpulan profesional dalam merangka KKR.

KKR dipamer untuk meraih pandangan rakyat mulai 16 Mei hingga 13 Jun 2019.

Idea untuk menguatkuasa semula perintah senarai hitam ke atas peminjam PTPTN yang ingkar mendapat kecaman pelbagai pihak kerana bertentangan dengan manifesto Pakatan Harapan.

Dalam kempen PRU14 lalu, PH berjanji menangguhkan pembayaran balik pinjaman PTPTN kepada peminjam berpendapatan kurang RM4,000 sebulan dan memansuhkan dasar senarai hitam.

Pada Jun tahun lalu, sebanyak 265,149 nama daripada 433,708 peminjam PTPTN dikeluarkan daripada senarai hitam Jabatan Imigresen.

Bagaimanapun, peminjam bergaji RM4,000 ke bawah masih perlu membayar pinjaman seperti biasa atas alasan kedudukan kewangan negara belum kukuh. – 15 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen