Duit GST tidak hilang, kerajaan BN terlebih anggar kutipan, kata PAC


Chan Kok Leong

Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara mendapati kerajaan Barisan Nasional menggunakan duit itu untuk membiayai perbelanjaannya. – Gambar EPA, 15 Julai, 2019.

KERAJAAN menggunakan wang yang tidak dipindahkan ke akaun bayaran balik Cukai Barang dan Perkhidmatan (GST) untuk membiayai perbelanjaannya, kata Jawatankuasa Kira-kira Wang Negara (PAC).

“Kerajaan terdahulu membuat anggaran berlebihan kutipan GST kerana ia hanya 65% daripada jumlah GST yang dipungut,” kata Pengerusi PAC Dr Noraini Ahmad hari ini.

“Wang itu tidak hilang,” kata ketua jawatankuasa Parlimen dalam satu kenyataan hari ini.

Noraini berkata kerajaan menangguhkan pemindahan wang bayaran balik daripada Kumpulan Wang Disatukan ke Kumpulan Wang Pembayaran Balik GST untuk memastikan wang mencukupi dan bagi mengelakkan defisit pengurusan di mana perbelanjaan mengurus lebih tinggi berbanding pendapatan.

The Malaysian Insight melaporkan minggu lalu kerajaan BN menggunakan wang yang dimaksudkan untuk pembayaran balik GST kerana ia terlebih membuat anggaran pendapatan daripada GST oleh Jabatan Kastam.

Noraini juga berkata Seksyen 54 (2) Akta GST dan pekeliling kerajaan mengenai bayaran balik bertarikh 13 Mac 2015 menyatakan semua wang GST perlu diletakkan dalam akaun pembayaran balik GST.

“Peraturan 67 (1) Peraturan-peraturan GST 2014 pula memperuntukkan tempoh masa bagi pembayaran balik GST adalah 14 hari bekerja atau dalam tempoh yang praktik selepas Penyata GST- 03 diterima secara elektronik manakala bagi penyata yang diterima secara manual, pembayaran balik akan dibuat dalam tempoh 28 hari bekerja atau dalam tempoh yang praktik. Ini adalah untuk menjamin pembayaran balik GST dalam masa yang ditetapkan oleh undang-undang,” kata Noraini.

Beliau berkata kerajaan sebelumnya meletakkan pendapatan GST ke dalam Kumpulan Wang Disatukan dahulu sebelum memindahkannya secara berperingkat ke akaun bayaran balik.

“Ini adalah tidak selaras dengan peruntukan Seksyen 54(2) dan Seksyen 54(5) Akta GST 2014,” kata Noraini. – 15 Julai, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen