Lebih 3,000 terbunuh dalam konflik di Syria sepanjang September 


Selain kehilangan nyawa, serangan udara di Syria turut memusnahkan banyak bangunan tempat tinggal dan infrastruktur lain. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2017.

KONFLIK di Syria membunuh sekurang-kurangnya 3,000 nyawa termasuk 955 orang awam pada September, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria pada Ahad yang menyifatkan ia sebagai bulan yang paling buruk dalam konflik di negara berkenaan tahun ini. 

“Lebih 70 peratus orang awam terbunuh dalam serangan udara yang dilancarkan oleh pihak rejim dan Rusia, atau serangan udara pakatan antarabangsa dalam menentang kumpulan Negara Islam (IS), kata ketua kumpulan pemerhati yang berasal daripada Britain itu, Rami Abdel Rahman. 

Mendapat sokongan serangan udara dari Rusia, Presiden Syria Bashar al-Assad memberi tekanan untuk menawan kembali kawasan yang dikawal IS di kawasan timur daerah Deir Ezzor. 

Pakatan antarabangsa yang diketuai Amerika Syarikat itu turut memberikan sokongan serangan udara kepada sekutu Arab-Kurdish, Pasukan Demokratik Syria, yang turut menentang IS di kawasan utara bandar Raqa dan Deir Ezzor. 

Bilangan mangsa yang terbunuh tertinggi pada September bukan sahaja kerana peningkatan serangan udara oleh pakatan antarabangsa itu dan Rusia terhadap kawasan taklukan IS di utara dan timur Syria, malah ia juga berpunca daripada serangan Rusia dan rejim di kawasan yang ditakluki pemberontak,” kata Abdel Rahman

Pesawat pejuang rejim dan Rusia meingkatkan serangan mereka ke wilayah barat laut Idlib, yang mana sebahagian besarnya dikawal oleh Hayat Tahrir al-Sham (HTS), sebuah kumpulan yang diketuai bekas sekutu Al-Qaeda Syria. 

955 orang awam terbunuh pada September termasuk 207 kanak-kanak, kata pemerhati yang bergantung kepada rangkaian sumber dalam untuk mendapatkan maklumat. 

Katanya angka kematian itu juga termasuk 790 tentera rejim dan penyokongnya, 738 anggota IS dan HTS serta 550 anggota pemberontak dan ahli SDF. – AFP, 1 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen