Umno jangan bertelagah secara terbuka, kata Pemuda bahagian


SM Amin

Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor meminta ahli dan pemimpinnya tidak bertelagah secara terbuka sehingga memberi kesan negatif kepada parti. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Julai, 2019.

PEMUDA Umno Bahagian Kuala Selangor meminta ahli dan pemimpinnya tidak bertelagah secara terbuka sehingga memberi kesan negatif kepada parti.

Ketua pergerakan itu, Noorazley Yahya berkata sebagai sebuah parti yang besar dan matang, setiap perbezaan itu perlu ditangani secara bijaksana supaya tidak mengguris hati pihak lain.

“Berbeza pendapat itu adalah satu rahmah dan perlu diraikan tetapi, janganlah perselisihan faham kita ini menguntungkan pihak lawan. 

“Kita buat sehabis baik, mana yang rasa negatif sebaiknya janganlah dibincangkan secara terbuka,” katanya ketika berucap di Mesyuarat Perwakilan Pemuda Umno Bahagian Kuala Selangor, hari ini.

Beliau menyentuh pandangan disuarakan pemimpin parti berhubung pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional.

Turut berkaitan adalah isu pelawaan Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad yang meminta orang Melayu bersatu di bawah partinya itu.

Antara individu yang mempertikaikan pelantikan Najib itu adalah dua ahli Parlimen Umno, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin yang tidak gembira dengan “langkah ke belakang” tersebut.

Khairy dan Ahli Parlimen Sembrong, Hishammuddin Hussein pula mahu parti melihat pelawaan Dr. Mahathir dari sudut positif selepas jemputan itu ditolak mentah-mentah oleh pemimpin Umno.

Dalam ucapan yang sama, Noorazley juga meminta Pemuda Umno menyemai satu budaya intelektual bagi menangani fitnah dan propaganda kerajaan Pakatan Harapan.

“Jadilah pembangkang yang berfakta dan sentiasa berilmu untuk kita mampu mematahkan fitnah dan propaganda yang dibuat oleh kerajaan hari ini. 

“Orang kata, kenalah ada isi sikit baru berani nak mendepani segala cabaran,” katanya yang menyeru ahli untuk terus mengembalikan kepercayaan rakyat kepada Umno.

Noorazley turut menjelaskan mengenai penubuhan Skuad Sabil, satu badan sukarela ditubuhkan Pemuda Umno bahagian itu untuk menjalankan aktiviti kebajikan masyarakat.

Katanya pertubuhan itu akan membantu masyarakat yang dilanda bencana serta menjaga keselamatan dan kesejahteraan para pemimpin dan peserta dalam perhimpunan besar.

Skuad itu ditubuhkan dengan mencontohi badan sukarela Unit Amal PAS, katanya.

“Mereka bukan sahaja sekadar mendaftar keahlian tetapi akan diberikan latihan yang sepatutnya daripada jurulatih-jurulatih yang bertauliah.

“Dalam usaha hendak membantu masyarakat, perlu ada sedikit ilmu pengetahuan dalam menguruskan krisis,” katanya ketika ditemui The Malaysian Insight. – 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen