KERAJAAN Thai hari ini mengulangi komitmennya dalam proses damai dengan MARA Patani (Majlis Rundingan Patani) dan akan mengadakan satu lagi rundingan berikutan selesainya Upacara Kremasi Diraja pada penghujung bulan ini.
Menurut ketua perundingnya Jen Aksara Kerdphol, kedua-dua pihak sedia dan sanggup berunding berhubung penubuhan zon keselamatan (SZ) semasa sesi akan datang.
“Saya pergi (ke Kuala Lumpur baru-baru ini) untuk mengulangi (komitmen) kepada fasilitator dan menyampaikan mesej kepada rakan dialog mengenai komitmen itu dan isu zon keselamatan,” katanya ketika dihubungi.
Malaysia menjadi fasilitator bagi rundingan damai itu, dengan Kuala Lumpur menjadi hos.
Dalam rundingan terbaru di Kuala Lumpur, isu penubuhan SZ telah dibincangkan, tetapi gagal akibat wujud perbezaan pendapat.
Upacara Kremasi Diraja untuk mendiang Raja Bhumibol Adulyadej akan berlangsung dari 25 hingga 29 Oktober. – Bernama, 1 Oktober, 2017.
Komen