Suara Nazri, Khairy masih diperlukan, kata Umno


SM Amin

Setiausaha Agung Umno Annuar Musa berkata pemimpin dalam parti bebas menyuarakan pandangan berbeza tetapi tidak boleh melangkaui presiden. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Julai, 2019.

KALANGAN pemimpin Umno bebas menyuarakan pandangan berbeza tetapi tidak boleh melangkaui presiden parti, kata Setiausaha Agung parti itu, Annuar Musa.

Katanya pandangan bertentangan seperti disuarakan dua ahli Parlimen parti itu, Nazri Aziz dan Khairy Jamaluddin, masih diperlukan kerana mereka tidak berada dalam majlis eksekutif parti.

Annuar bagaimanapun mengingatkan pemimpin berkenaan, yang mempersoalkan pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi majlis penasihat BN supaya tidak memprovokasi parti.

“Jadi suara-suara begitu ada gunanya kepada parti tetapi tidak boleh ambil suara itu sama besar dengan suara presiden. Kena ada kaedahnya.

“Tidak usah cuba hendak cucuk Umno kerana Umno sekarang Umno sekarang mempunyai pendekatan yang baharu, tidak ada masalah sesiapa pun hendak menegur atau memberi pandangan,” katanya.

Beliau mengulas kenyataan Nazri dan Khairy yang menyatakan rasa tidak gembira dengan pelantikan baharu Najib mengetuai majlis penasihat BN.

Kenyataan itu dibidas Najib hari ini yang menganggapnya tidak wajar kerana Umno perlu diperkukuhkan kembali selepas tewas dalam PRU14.

Mengulas lanjut perkara itu, Annuar menggesa ahli dan pemimpin Umno supaya belajar daripada ahli PAS yang terus setia kepada pemimpin parti.

“Umno ini bukan soal Najib atau Zahid (Hamidi, presiden parti). Tetapi kita tidak faham. Kita suka berpuak, bergaduh sesama sendiri. Dah pilih presiden elok-elok, disuruh berhenti. 

“Bila masuk pun kita bising. Kita lupa perkara asas perlembagaan tetapi kita pakai strategi musuh. Kita dah lama pemilihan tetapi masih lagi bercakap. Malulah sikit dengan PAS,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kuala Selangor, hari ini.

Dalam program sama, Annuar juga turut melancarkan Skuad Sabil Umno Bahagian Kuala Selangor, badan yang hampir sama dengan Unit Amal PAS dalam menggerakkan aktiviti sukarela. – 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen