Orang Umno masih kejar harta, jawatan, kata Annuar Musa


SM Amin

Pemimpin dan ahli Umno perlu mengubah sikap ini kerana ia merupakan antara punca parti itu dihukum oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 lalu, kata Setiausaha Agung, Annuar Musa. – Gambar The Malaysian Insight, 13 Julai, 2019.

PENYAKIT mengejar kekayaan dan jawatan masih wujud dalam Umno walaupun parti itu sudah tidak lagi memegang kuasa di Putrajaya, kata Setiausaha Agung Annuar Musa.

Annuar berkata, pemimpin dan ahli Umno perlu mengubah sikap ini kerana ia merupakan antara punca parti itu dihukum oleh rakyat dalam Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14) lalu.

“Orang Umno ini terutamanya bila sudah berasa selesa menjadi kerajaan, mereka nampak untuk jadi calon, nampak kekayaan, projek, harta dan inilah bahana yang telah menimpa kita. 

“Sampai sekarang penyakit ini belum hilang. Umno ini bukan parti nak cari harta,” katanya ketika berucap kepada pemimpin bahagian Kuala Selangor hari ini.

Tambahnya, perkara itu tidak sepatutnya berlaku kerana Umno wujud sebelum pilihan raya pertama diadakan.

“Umno adalah satu-satunya parti politik yang wujud dalam negara ini di saat tidak ada kekayaan, tidak ada harta, tidak ada ilmu, tidak ada apa-apa dan satu-satunya parti yang wujud sebelum wujud sistem pilihan raya,” katanya.

Dalam PRU14 lalu, parti tunjang kepada Barisan Nasional itu tewas buat pertama kalinya dalam sejarah selepas diselubungi skandal rasuah, pecah amanah dan salahguna kuasa.

Kewangan parti itu juga terjejas apabila akaun Umno dibekukan sejak Jun tahun lalu mengikut undang-undang pengubahan wang haram kerana didakwa berkaitan dengan skandal 1MDB.

Arahan pembekuan tersebut masih dikekalkan kerana penyiasatan berhubung kaitan kes skandal itu dengan parti terbabit giat dijalankan pihak berkuasa.

Menurut Annuar, orang Melayu berjuang bukan disebabkan mereka dilahirkan sebagai Melayu tetapi agama yang menuntut kaum itu menegakkan pemerintahan Islam.

“Kalaulah negara ini dijajah oleh Islam, katakan Portugis itu Islam dalam memerintah Melaka, atau Belanda, Siam itu Islam, saya percaya Umno tidak wujud.

“446 tahun bangsa ini duduk di bawah bukan Islam. Lalu roh dan semangat Islam ini yang mendorong kita bersatu mencari jalan dan seterusnya membentuk kuasa,” ujarnya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Wanita, Pemuda dan Puteri Umno Bahagian Kuala Selangor, hari ini. – 13 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen