O.J. Simpson dibebaskan dengan parol


O.J.Simpson dibebaskan tengah malam tadi, dia dikenali dunia selepas didapati tidak bersalah dalam kes pembunuhan kejam bekas isterinya. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2017.

ATLET terkenal Amerika O.J. Simpson yang menggegarkan negara itu kerana kes bunuh pada 1995 dibebaskan daripada penjara dengan parol pada Ahad selepas sembilan tahun dipenjarakan kerana kesalahan rompakan bersenjata.

Simpson, 70, keluar daripada Pusat Pemulihan Lovelock di Nevada selepas tengah malam, kata jurucakap penjara Brooke Keast.

“Saya tidak tahu dia akan ke mana,” kata Keast kepada AFP.

Simpson diberikan parol selepas perbicaraan pada Julai lalu dan tarikh paling awal pembebasan dijadualkan pada 1 Oktober tetapi laporan awal menyebut yang dia hanya akan dibebaskan paling awal pada Isnin.

“Mengapa bebas awal? Untuk memastikan keselamatan awam dan mengelakkan kejadian buruk berlaku,” kata Keast mengulas pembebasan Simpson lapan minit selepas tengah malam waktu tempatan itu.

Simpson merancang untuk berpindah ke Florida selepas dibebaskan dari penjara kawalan sederhana itu, kata peguamnya, Malcolm LaVergne.

Simpson dikenali dunia selepas didapati tidak bersalah dalam kes pembunuhan kejam bekas isterinya, Nicole Brown Simpson dan rakan lelakinya, Ron Goldman pada 1995. Kes itu menggemparkan AS dan disifatkan sebagai “perbicaraan kurun ini”.

Tetapi bekas atlet dan pelakon itu disumbat ke penjara pada 2008 kerana peranannya dalam dua kes rompakan bersenjata di sebuah hotel Las Vegas.

Ketika dibicarakan, Simpson mendakwa yang dia hanya mahu mendapatkan kembali barangan peribadi daripada mangsa rompakan, penjelasan yang diulanginya ketika berdepan lembaga parol pada Julai. Empat ahli panel bersetuju memberikannya parol. – AFP, 1 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen