PENUBUHAN parti Bersatu untuk menentang Umno dan memecah-belahkan orang Melayu merupakan cadangan veteran DAP Lim Kit Siang, dakwa Penasihat BN Najib Razak.
Najib mendakwa, perkara itu dimaklumkan oleh individu yang hadir semasa Kit Siang mencadangkan idea tersebut kepada Pengerusi Bersatu Dr Mahathir Mohamad.
“Siapa agaknya mencadangkan parti Bersatu ditubuhkan? Saya sudah jumpa orang yang hadir dalam mesyuarat berkenaan. Orang itu hari ini sudah pusing, bersama dengan kita.
“Dia kata yang mencadangkan Bersatu ditubuhkan tidak lain dan tidak bukan, Lim Kit Siang,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Pendang, Kedah, malam tadi.
Menurut Najib, Kit Siang mencadangkan idea tersebut kepada Dr Mahathir untuk menarik sebabyak 10% sokongan orang Melayu kepada Pakatan Harapan dalam Pilihan Raya Umum Ke-14.
“Maknanya dalam kepala DAP dan Kit Siang, hendak jatuhkan kerajaan pimpinan Umno dan Barisan Nasional, pecah belahkan orang Melayu,” katanya.
Jelasnya, penubuhan Bersatu menyebabkan Umno kehilangan undi sebanyak 10% dan tewas dalam pilihan raya tersebut.
“Saya boleh sahkan, ini bukanlah andaian-andaian. Ini telah berlaku dan akibatnya bila lebih kurang 10% undi Umno berkurangan, sudah cukup untuk kita tumbang dalam pilihan raya lepas,” katanya.
Beliau mengulas pelawaan Dr Mahathir supaya orang Melayu menyertai Bersatu untuk menguatkan kuasa politik kaum majoriti itu yang kini sudah terbahagi dan berpecah kepada enam parti.
Dr Mahathir menubuhkan Bersatu pada 2016 untuk menentang kleptokrasi yang dilakukan Najib, presiden Umno dan juga perdana menteri pada waktu itu.
Najib bagaimanapun percaya usaha itu hanyalah untuk memecah-belahkan orang Melayu dan kini Umno perlu bekerjasama dengan PAS untuk perpaduan kaum itu.
“Soalnya sekarang siapa yang memecah-belahkan orang Melayu? Siapa yang termakan dengan hasutan daripada DAP? Sebab itu pada hari ini bukanlah kita hendak masuk bersama Bersatu.
“Kita hendak memperkukuhkan Umno kerana inilah satu-satunya parti yang menyelamatkan masa depan kita. Dan kita hendak bersama dengan rakan kita, PAS.
“PH pada hari ini kuasa yang dominan adalah DAP,” ujarnya. – 13 Julai, 2019.
Komen