PEMANDU kereta persendirian yang memberikan khidmat kereta pesanan atau e-hailing tidak boleh dikenakan komisen lebih daripada 20% oleh syarikat pengendali perniagaan pengantaraan (EHO) yang menjalankan perkhidmatan e-hailing, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.
Pemandu teksi yang beroperasi melalui aplikasi e-hailing pula hanya boleh dikenakan komisen tidak lebih 10%, katanya.
Tegas beliau, kerajaan tidak teragak-agak untuk menarik balik lesen operasi daripada mana-mana syarikat yang engkar.
“Tidak boleh ada mana-mana tambahan komisen… ada syarikat yang pakai nama lain (sebagai ganti nama kepada komisen), ini tak dibenarkan sama sekali.
“Kalau kenakan komisen tambahan, tindakan akan diambil. APAD (Agensi Pengangkutan Awam Darat) akan pantau syarikat EHO,” kata Loke pada sidang media di Putrajaya, hari ini.
“Lesen boleh ditarik balik kalau syarat tak dipenuhi,” tambahnya.
Jelas Loke, kementeriannya mengenal pasti ada syarikat pengendali perkhidmatan e-hailing yang mengenakan tambahan komisen sehingga 5% kepada pemandu mereka.
“Kalau mereka cuba uji kita, tak ikut peraturan, kami tahu syarikat mana, kita juga ada orang yang akan masuk portal pemandu, kita tahu apa syarikat e-hailing buat.
“Ada syarikat kenakan tambahan 5%, pakai nama lain, komisen 20 tapi fi 5%.
“Apa bezanya, tetap pemandu kena bayar juga,” katanya.
Loke menjelaskan sikap kementerian itu bukan mahu menyebelahi mana-mana pihak sebaliknya hanya melaksanakan peraturan yang dikuatkuasakan.
“Ada pemandu cakap menteri pro kepada syarikat, saya tidak pro mana-mana pihak. Kita laksanakan tugas dengan adil, dan kuatkuasa peraturan dengan adil,” tegasnya.
Setakat 11 Julai 2019, sebanyak 31 syarikat EHO diluluskan permohonan untuk mendapatkan LPP daripada APAD.
Kerajaan juga katanya mengharapkan agar semua EHO dan pemandu perkhidmatan e-hailing mengambil serius untuk mematuhi semua peraturan.
Ini kerana, peraturan dan penguatkuasaan adalah semata-mata untuk memastikam industri kenderaan perkhidmatan awam di negara ini sentiasa berkualiti selari dengan kepesatan aplikasi teknologi masa kini.
“EHO selaku pemegang Lesen Perniagaan Pengantaraan (LPP) yang sah perlu memastikan syarat dan peraturan yang ditetapkan dipatuhi.
“Penguatkuasaan peraturan dan syarat-syarat pendaftaran, pelesenan perkhidmatan pengendali/perantara akan dilakukan sepenuhnya ke atas pihak EHO,” katanya. – 12 Julai, 2019
Komen