Pemandu e-hailing diberi masa hingga Oktober


Mohd Farhan Darwis

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata, kementerian akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu e-hailing.– Gambar fail The Malaysian Insight, 12 Julai, 2019.

PUTRAJAYA memberikan tempoh masa selama tiga bulan bermula hari ini kepada pemandu perkhidmatan kereta pesanan (e-hailing) yang masih belum mematuhi syarat yang ditetapkan kerajaan untuk meneruskan operasi mereka, kata Menteri Pengangkutan Anthony Loke.

Loke berkata, keputusan itu dicapai dalam mesyuarat Kabinet hari ini, yang mana penguatkuasaan peraturan perkhidmatan e-hailing yang sepatutnya bermula hari ini dilaksanakan melalui pendekatan “soft landings”.

“Kementerian Pengangkutan melalui Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) akan mengambil pendekatan penguatkuasaan berbentuk mendidik secara berperingkat kepada pemandu e-hailing.

“Untuk tempoh tiga bulan, mulai 12 Julai 2019, mana-mana pemandu tanpa lesen kenderaan pengangkutan awam (PSV) atau memandu kenderaan yang tidak memenuhi syarat kenderaan akan diberi nasihat, pendidikan dan amaran akhir supaya melengkapkan semua peraturan terlibat,” kata Loke, ketika sidang media di Putrajaya, hari ini.

Loke berkata, kegagalan memenuhi syarat dan peraturan akan mengakibatkan mereka dikenakan tindakan undang-undang.

“Kalau mana-mana pemandu masih tak berdaftar beroperasi, mereka sudah langgar peraturan dan boleh dikenakan tindakan, bagi yang berdaftar kita akan pantau dan mereka harus patuhi semua syarat,” katanya.

Menurut Loke, setakat ini jumlah calon yang lulus ujian PSV adalah seramai 22,981 orang.

Manakala sebanyak 17,596 permit kenderaan e-hailing (eVP) dikeluarkan, dengan 13,380 adalah eVP kenderaan persendirian, dan 4,216 untuk eVP teksi.

Seramai 31,731 calon mendaftar untuk menduduki kursus dan ujian PSV di 226 institut memandu di seluruh negara dengan 25,248 calon melengkapkan sesi kursus dan 19,891 calon lulus ujian PSV.

Beliau berkata, seramai 16,528 calon menghadiri kursus PSV yang dijalankan syarikat perniagaan pengantaraan (EHO) sendiri. Daripada jumlah itu, seramai 3,090 calon lulus ujian tersebut.

“Kita dah beri masa mencukupi, saya harap tidak ada lagi pihak nak lengah lengahkan, pendekatan kita praktikal,” kata Loke.

Beliau juga memberi amaran agar tiada pihak mengambil kesempatan menawarkan laluan mudah kepada calon dengan bayaran tertentu.

“Kalau ada isu integriti, mana-mana pihak ada maklumat, bawah meja, atas meja atau sebagainya, buat laporan kepada Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia, kita tidak kompromi berkenaan integriti,” kata Loke lagi.

JPJ dalam kenyataan sebelum ini berkata Kementerian Pengangkutan telah membuat pindaan undang-undang berkaitan pelaksanaan e-hailing di negara ini, yang meliputi pindaan terhadap beberapa kaedah seperti kaedah kenderaan motor (pembinaan dan penggunaan) 1959; kenderaan Perkhidmatan Awam (Pelesenan dan kelakuan Pemandu, Konduktor dan Penumpang 1959 dan kenderaan bermotor (pemeriksaan berkala, kelengkapan dan standard pemeriksaan) 1995.

Pindaan kaedah-kaedah itu sepatutnya berkuatkuasa pada 12 Julai tahun lepas, bagaimanapun kerajaan telah bersetuju memberikan tempoh satu tahun sehingga 12 Julai tahun ini kepada kesemua pengendali perkhidmatan e-hailing untuk membuat persediaan.

Antara persediaan yang perlu dibuat pemandu e-hailing adalah untuk mendapatkan lesen memandu kenderaan perkhidmatan awam (PSV); lesen pengendali perkhidmatan e-hailing; dan menjalani pemeriksaan kenderaan di pusat pemeriksaan kenderaan (Puspakom). – 12 Julai, 2019

 


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen