SEBUAH universiti di Arab Saudi akan membuka sekolah memandu kepada wanita, yang pertama di negara ultra konservatif itu selepas ia membenarkan wanita memandu kenderaan.
“Princess Nourah University sedang bersedia untuk mewujudkan sebuah sekolah memandu dengan kerjasama pihak berkuasa berkaitan,” kata universiti wanita itu pada Ahad.
“Ini adalah pengumuman pertama yang dibuat selepas arahan Raja Salman yang membenarkan wanita memandu,” katanya.
Arab Saudi pada Selasa lalu mengatakan ia akan membenarkan permit memandu untuk wanita atas arahan diraja berkuat kuasa pada Jun, mencetuskan kegembiraan aktivis yang selama ini menentang pengharaman pemanduan wanita itu.
Negara itu adalah satu-satunya negara dunia yang mengharamkan wanita daripada memandu, tindakan yang dilihat penindasan kepada wanita di negara itu.
Princess Nourah University mengatakan ia mempunyai lebih 60,000 pelajar wanita di Riyadh dan bandar lain.
Keputusan yang dikeluarkan pada Selasa itu dijangka menggalakkan wanita memasuki pasaran kerja dan melonjakkan jualan kereta terutama menjelangnya pelaksanaan cukai baru kerajaan yang dijangka berlaku pada Januari 2018.
Pengeluar kereta termasuk Nissan, Chevrolet dan Ford mengucapkan tahniah kepada wanita Arab Saudi, ketika jutaan wanita dijangka mula memandu pada tahun-tahun mendatang. – AFP, 1 Oktober, 2017.
Komen