Myanmar buka sekolah Rohingya, dakwa ‘kestabilan sudah dikembalikan’


Krisis Rohingya disifatkan PBB sebagai ‘pembersihan etnik’ dan mencetuskan krisis pelarian terbesar dunia ketika ini. – Gambar EPA, 1 Oktober, 2017.

MYANMAR kembali membuka sekolah untuk kanak-kanak etnik Rohingya di bandar yang terkesan teruk kerana keganasan kaum, mengisytiharkan “kestabilan” sudah dikembalikan, lapor media negara itu hari ini walaupun ribuan penduduk Islam Rohingya masih bergerak meninggalkan kawasan itu.

Negeri Rakhine terjejas teruk selepas keganasan tercetus akhir Ogos lalu, apabila serangan dilakukan tentera Myanmar kepada militan Rohingya mencetuskan situasi yang disifatkan PBB sebagai “pembersihan etnik”.

Separuh daripada sejuta penduduk Islam Rohingya di Myanmar melarikan diri ke Bangladesh sejak itu, mencetuskan krisis pelarian terbesar dunia, mendakwa yang perkampungan mereka dimusnahkan tentera dan perusuh Rakhine.

Keganasan juga menyebabkan 30,000 etnik Rakhine yang beragama Buddha dan Hindu menjadi pelarian.

Pegawai pendidikan mengatakan sekolah sudah kembali dibuka di Maungdaw dan Buthidaung kerana “kestabilan sudah kembali” di pusat kawasan bergolak itu, menurut laporan Global New Light di Myanmar pada Ahad.

“Sekolah di perkampungan etnik selamat dan dikawal”, kata kenyataan itu yang merujuk kepada kawasan diduduki penduduk Buddha Rakhine yang diiktiraf Myanmar sebagai etnik minoriti rasmi negara itu.

“Tetapi kita perlu memikirkan tentang sekolah di perkampungan Bengali (Rohingya) kerana masih wujud kebimbangan tentang aspek keselamatan,” kata pegawai itu lagi.

Rohingya tidak diiktiraf sebagai kumpulan etnik dan dilabelkan Myanmar sebagai “Benggali” seterusnya melucutkan hak mereka sebagai warganegara.

Lebih daripada 2,000 Rohingya- kebanyakan berasal dari Buthidaung- berkumpul di pesisir pantai minggu lepas berharap untuk melintasi sempadan Bangladesh yang berbahaya ketika kemudahan asas di tempat mereka semakin berkurangan dan wujudnya ancaman di Rakhine.

Kerajaan mengatakan pegawai cuba memujuk mereka untuk meninggalkan kawasan itu, tetapi mereka bertekad hendak melakukan perjalanan merbahaya itu.

Sekurang-kurangnya 60 orang dikhuatiri terbunuh apabila sebuah bot karam berhampiran perairan Bangladesh pada Khamis lalu. Bot itu membawa pelarian Rohingya, kebanyakannya kanak-kanak dari kawasan Buthidaung.

Akses kepada kawasan utara Rakhine yang bergolak dikawal ketat tentera Myanmar, menghalang laporan media bebas dan bantuan kemanusiaan asing.

Pada Isnin, wakil PBB dijangka melakukan lawatan ke kawasan itu, disertai agensi kemanusiaan dan diplomat.

Myanmar membatalkan lawatan itu minggu lepas menggunakan alasan cuaca buruk.

Etnik Rakhine serta penduduk Myanmar yang majoriti beragama Buddha menuduh PBB dan NGO bersikap berat sebelah kepada Rohingya, kumpulan yang dianggap ancaman kepada negara itu.

Myanmar menafikan wujudnya pembersihan etnik berlaku di Rakhine dan menyalahkan militan Rohingya atas keganasan yang tercetus. – AFP, 1 Oktober, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen