PRESIDEN Filipina Rodrigo Duterte mengatakan beliau tidak akan bekerjasama dengan siasatan anti korupsi khas pendakwa raya negara itu berkaitan dakwaan beliau memperolehi kekayaan yang tidak dapat dijelaskan.
Beliau juga berikrar tidak akan “menyerah” kepada pihak berkuasa.
Pendakwa raya minggu lepas mengatakan yang mereka sedang menyiasat dakwaan yang akaun bank Duterte mempunyai jutaan dolar yang gagal didedahkan seperti dihendaki undang-undang.
Duterte mengecam agensi pendakwa raya itu, memanggilnya sebagai “teruk” dan mengatakan tuduhan terhadapnya adalah maklumat yang “tiada asas”.
“Saya tak akan menyerah kepada pendakwaan,” kata Duterte pada satu ucapan yang dipenuhi makian kepada peguam tempatan pada malam Sabtu lalu.
“Menggunakan bukti yang dipalsukan, menipu kepada negara dan kemudian anda mahu saya menyerah kepada pendakwaan,” kata Duterte merujuk kepada Timbalan Pegawai Melchor Arthur Carandang yang mengumumkan siasatan itu.
Kenyataan Duterte itu bercanggah dengan kenyataan jurucakapnya minggu lepas yang presiden menghormati pihak pendakwaan dan mempercayai mereka tidak berat sebelah.
Duterte,72, memenangi pilihan raya presiden tahun lepas menggunakan platform undang-undang dan pemerintahan tegas dan anti korupsi.
Pada kempen pilihan raya, Duterte mengatakan beliau berasal daripada keluarga miskin dan hidup sederhana yang menaikkan imejnya sebagai tokoh anti pemerintah dan ahli politik yang mewakili rakyat biasa, kata penganalisis.
Siasatan pendakwaraya bermula daripada aduan yang dilakukan sebelum pilihan raya oleh senator pembangkang, Antonio Trillanes yang mendakwa Duterte menyonglap dana kerajaan ketika menjadi datuk bandar bandar Davao.
Pada Ahad, Duterte mengatakan keluarganya mempunyai hartanah dan perniagaan termasuklah kilang ais dan balak, dan menambah yang mendiang ayahnya adalah gabenor daerah.
“Semuanya berjumlah tidak lebih 40 juta (pesos atau AS$785,000), simpanan saya. Sebahagiannya adalah harta warisan- orang Davoa tahu perkara ini- hartanah,” kata Duterte.
“Saya tak suka kata ini (tapi) apa yang anda fikir tentang kami, miskin? Yang kami miskin sangat?” – AFP, 1 Oktober, 2017.
Komen