Nazri tak setuju Najib jadi penasihat BN


Diyana Ibrahim Ragananthini Vethasalam Ravin Palanisamy

Bekas setiausaha agung Umno, Mohamed Nazri Aziz tidak bersetuju dengan pelantikan Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat BN. – Gambar fail The Malaysian Insight, 10 Julai, 2019.

PELANTIKAN Najib Razak sebagai pengerusi lembaga penasihat Barisan Nasional (BN) hanya akan memberi kesan buruk, kata bekas setiausaha agung parti itu Mohamed Nazri Aziz.

Jelasnya parti itu sudahpun kalah pilihan raya sewaktu dipimpin oleh Najib dan pelantikan baharu itu pula dibuat oleh pemimpin BN yang kini menghadapi tuduhan di mahkamah.

“BN kalah di tangan siapa? ... Yang tanda tangan ini,  Ahmad Zahid, Najib Razak dan Tengku Adnan Tengku Mansur mereka ini semua didakwa di mahkamah.

“Saya tak fikir ia akan kuatkan Umno, ia regresif,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen hari ini.

Pelantikan Najib ke jawatan tersebut diumumkan Setiausaha Agung BN Tengku Adnan pada malam tadi.

Namun menurut Nazri, pelantikan itu sepatutnya dibincangkan oleh majlis tertinggi Umno terlebih dahulu.

“Saya rasa patutnya melalu mesyuarat (majlis tertinggi), tapi saya tidak ada jawatan jadi saya tidak tahu.

“Atau mungkin pelantikan itu untuk bagi satu isyarat provokatif kepada Dr Mahathir Mohamad, mungkin lah,” katanya.

Mengulas perkara sama, bekas naib presiden Umno Hishammuddin Hussein berkata ahli parti hanya dapat melihat perkembangan kerana pelantikan itu sudah dibuat.

“Pelantikan dah dibuat jadi kita perhatikan saja apa yang dibuat. Untuk perubahan tidak akan dapat dilakukan dalam tempoh semalaman,” kata ahli Parlimen Sembrong itu.

Pelantikan berkenan bagaimanapun dialu-alukan ketua pembangkang Ismail Sabri yang berpendapat ia satu pembaharuan untuk mengembalikan kegemilangan Umno.

“Saya kira (satu) pembaharuan. Dulu kita tidak ada majlis penasihat sekarang sudah ada,” katanya. – 10 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen