Kini masanya wanita bangkit tuntut hak, kata aktivis


Thor Kah Hoong

Maria Chin Abdullah (kiri) dan Marina Mahathir berbicara mengenai perlunya wanita memainkan peranan lebih besar dalam politik negara. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 1 Oktober, 2017.

TETAMU siri “Lepak Teh Tarik” di restoran vegetarian masakan India kali ini adalah aktivis sosial Maria Chin dan Marina Mahathir. Disebabkan kegagalan komunikasi dengan pelayan warga asing, Marina terpaksa makan sehingga tiga hidangan. Tetapi tiada sebarang kegagalan komunikasi ketika kedua-dua wanita itu berbicara mengenai apa yang mendorong “wanita ungu” turun melakukan protes politik toksik baru-baru ini.

The Malaysian Insight (TMI): Pertama, bagaimana anda semua berjaya membuatkan Siti Hasmah Mohd Ali mengetuai perarakan ungu? Bukankah itu yang pertama baginya untuk berada dalam sebuah kenderaan terbuka, terangkan…

Marina: (Ketawa.) Ya. (Mengangguk ke arah Maria bagi menunjukkan beliau bertanggungjawab).

Maria: Dia juga menjadi mangsa keganasan politik. Apabila kerusi dibaling semasa Tun berceramah, dia ada di sana.

Marina: Penglihatannya tidak begitu baik. Dia hanya mendengar bunyi bising dan tidak tahu apa yang berlaku. Ia menakutkannya. Dia sudah berusia 91 tahun. Menakutkan dia seperti itu tidak baik.

Tetapi dia tekad untuk melibatkan diri – sidang akhbar, dan sebagainya. Bahan taklimat untuknya perlu dicetak dalam huruf besar. Dia menghafalnya.

Pada hari itu, dia terus berkata, “Saya tidak tahu apa yang harus saya katakan.” Tetapi ia berjalan lancar. Dia bangun dan tiba-tiba… (ketawa) wah, wow, dari mana datangnya semua itu?

Ia melucukan kerana apabila ayah saya keluar dari kereta – saya terlupa dia hendak datang – saya pergi kepadanya dan memberitahu, “Anda duduk di belakang, okay? Ini adalah perarakan wanita. Anda duduk di belakang. Biar ibu tampil ke depan.”

Dia berkata okay. Saya berkata, “Lihatlah kami tidak bersedia, masih menguruskan banyak perkara, anda pergi ke tempat berhawa dingin, minum. Kemudian dia keluar lagi kerana tidak mahu terlepas semua aksi. Sudah tentu, bila dia keluar, media dengan segera meluru mendapatkannya. Kesian gadis yang bercakap di atas, tiada siapa mendengarnya.

Jadi saya terpaksa kembali kepadanya dan berkata, “Bolehkah anda masuk kembali? Jika anda berada di sini, kami tidak mendapat sebarang perhatian.” Dia memandang saya seperti ini… (Marina meniru bapanya dengan wajah muram. Ketawa)

Maria: Azmin Ali dan Mat Sabu ada di sana. Mereka berkata mereka tidak akan bercakap. Mereka duduk di bahagian belakang.

Siti Hasmah Mohamad Ali (tengah)semasa mengetuai perarakan wanita dari pusat membeli belah Maju Junction ke Kompleks Pertama dalam acara Purple Walk. Turut kelihatan anaknya, Marina Mahathir (kanan). – Gambar fail The Malaysian Insight, 1 Oktober, 2017.

TMI: Apa yang mendorong perarakan ungu ini?

Maria: Beberapa siri kejadian. Ceramah Dr Mahathir – itu teruk. Kerusi dilempar. Ada api. Polis ada di sana tetapi mereka tidak menghentikannya. Kami merasakan ia bukanlah politik yang kami inginkan untuk negara ini. Ia akan menjadi racun jika kita terus membiarkannya.

Kami memutuskan suara wanita perlu didengar dengan lantang. Tiga hingga lima orang daripada kami membincangkannya dan memutuskan untuk berarak.

TMI: Lanskap politik sekarang sangat kecoh, pra-pilihan raya. Anda adalah suara yang lain. Bagaimana anda merancang untuk didengar di tengah keriuhan untuk mendapatkan perhatian? Adakah terdapat aktiviti selanjutnya, atau adakah ia hanya sekali sahaja?

Marina: Saya tidak fikir ia akan menjadi sekali itu sahaja. Hashtag #wanitahbantahpolitiktoxic  juga cukup baik. Saya balik malam yang sama selepas perarakan, jadi kami tidak mempunyai peluang untuk bertemu. Juga, begitu banyak perkara yang berlaku bagi kami semua – satu demi satu kes mahkamah.

Maria: Saya dijemput untuk memberi ceramah oleh wanita Pakatan Harapan (PH) dari Johor. Selepas ceramah itu, wanita di sana berkata mereka ingin lebih banyak ceramah kerana mahu mengetahui lebih banyak tentang keganasan rumah tangga, bagaimana untuk menuntut hak mereka.

Marina: Wanita mempunyai isu bersilang yang tidak ditakrifkan oleh dasar parti politik.

Maria: Tidak kira jika terdapat banyak suara. Kita sepatutnya mempunyai banyak suara. Saya rasa tidak ada suaranya yang mencukupi. Kami adalah 50% daripada jumlah keseluruhan penduduk. Kita boleh menjadi suara yang kuat.

Marina: Wanita muda lebih berminat. Kami menggalakkan mereka menganjurkan beberapa perkara, dan mereka melakukannya.

TMI: Bagaimana dengan wanita di Parlimen?

Marina: (ketawa) Kami selalu menginginkannya. Jumlah 10% daripada Parlimen tidak masuk akal. Sama ada wanita tidak dengari atau mereka hanya mengulangi apa dikatakan lelaki? Ayah saya mentadbir selama 22 tahun. Saya tidak pernah mengikutinya semasa pilihan raya, yang kini saya menyesal kerana terlepas pengalaman itu.

Ketika adik saya (Mukhriz Mahathir) bertanding, saya memutuskan kali ini untuk melihat bagaimana keadaannya. Pada masa itu, beliau masih dalam Umno. Anda dapat melihat yang wanita menjalankan kempen secara sistematik, tetapi mereka juga mempunyai banyak aduan.

Satu, dana kempen yang sepatutnya diberikan kepada mereka tidak sampai. Ada yang beroperasi dengan keadaan hampir kosong. Mereka bukan sahaja pembuat teh. Mereka dipaksa memegang peranan itu dan diberitahu patut bersyukur. – 1 Oktober, 2017.

Baca berita penuh di sini.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen