SEORANG lelaki Jerman mengaku meracuni makanan bayi dan mengancam untuk mencemarkan produk lain di kedai seluruh Eropah, sebagai sebahagian plot peras ugut, kata pihak berkuasa.
Tangkapan suspek – digambarkan sebagai “gangguan mental” – dilakukan pada Jumaat selepas polis Jerman memberi amaran kepada orang ramai awal minggu ini, dengan mengatakan seorang pemeras ugut menuntut bayaran jutaan euro.
Bagi menggesa permintaan itu, suspek didakwa meracuni lima produk makanan bayi dan memaklumkan kedai ia ditempatkan di bandar selatan Friedrichshafen, Lake Constance.
Berikutan maklumat yang diterima daripada orang ramai, polis menahan lelaki berusia 53 tahun itu berdekatan Tübingen, kira-kira dua jam memandu dari kedai dimaksudkan.
“Pemeras ugut mengakui tuduhan itu…semasa tampil di Mahkamah Ravensburg” dan berkata tidak meletakkan produk beracun lain di pasar raya, kata pihak berkuasa Jerman.
Pada sidang akhbar awal hari ini, polis dan pendakwa mengatakan lelaki itu enggan memberi penjelasan mengenai motif bertindak begitu tetapi bukti yang mengaitkannya ditemui di rumahnya.
Ia juga didapati lelaki berkenaan yang tidak didedahkan namanya, bertindak sendirian.
Timbalan ketua polis tempatan Uwe Stuermer menggambarkan lelaki tersebut sebagai “eksentrik” dan mengalami gangguan mental.
Dia ditangkap selepas pihak berkuasa mengeluarkan rakaman video pengawasan lelaki itu, yang sebelum ini digambarkan sebagai berusia 55 tahun, berkaca mata dan bertopi putih.
Produk makanan bayi – yang dicampur dengan etilena glikol, bahan kimia yang terdapat dalam anti-beku dan cecair brek – ditemui dan dikeluarkan.
Bagaimanapun, satu rayuan di seluruh negara untuk mendapatkan maklumat dilancarkan ke atas suspek dan amaran dikeluarkan mengenai potensi pencemaran produk makanan lain. – AFP, 1 Oktober, 2017.
Komen