PRESIDEN Umno Zahid Hamidi berikrar untuk tidak menjalin sebarang kerjasama dengan bakal perdana menteri, Anwar Ibrahim bagi menyertai kerajaan, kata sumber parti.
Sumber Umno berkata presiden Umno itu menegaskan demikian untuk menangkis dakwaan bahawa beliau masih menyokong Anwar.
Ia antara isu yang ditangani Zahid dalam mesyuarat sulungnya bersama biro politik Umno pada Isnin sejak kembali bertugas sebagai presiden parti.
“Zahid tegaskan pendiriannya untuk tidak mengadakan sebarang kerjasama dengan Anwar kerana Anwar bersama DAP,” kata sumber kepada The Malaysian Insight.
Isu berkenaan timbul semula ekoran penularan satu akuan bersumpah minggu lalu yang kononnya menyatakan Zahid menyokong peralihan kuasa perdana menteri daripada Dr Mahathir Mohamad kepada Anwar.
Zahid menafikan tuduhan itu dan satu laporan polis turut dibuat oleh Setiausaha Kerja Umno Malaysia Mohd Sumali Reduan ke atas dakwaan fitnah tersebut.
Zahid berdepan cabaran untuk menangkis persepsi tersebut memandangkan beliau menyokong Anwar dalam Umno pada 1998, yang menentang presiden parti, Dr Mahathir pada waktu itu.
Rentetan itu, Dr Mahathir memecat Anwar yang kemudiannya didakwa dengan tuduhan liwat dan rasuah, manakala Zahid ditahan buat sementara waktu di bawah Akta Keselamatan Dalam Negeri.
“Selama ini Zahid sering dianggap sebagai orang Anwar. Desakan supaya beliau berundur sebelum ini pun kerana beliau dikatakan sedang merancang sesuatu dengan Anwar untuk bentuk kerajaan,” kata sumber.
Ia merujuk kepada gerakan pelbagai kem dalam Umno yang mencari arah sebagai pembangkang selepas kalah pilihan raya buat kali pertama dalam sejarah pada tahun lalu.

Gerakan untuk menjadikan Umno sebahagian daripada kerajaan itu antara lain diusahakan setiausaha agung Barisan Nasional (BN) ketika itu, Nazri Aziz.
Beliau dilaporkan menjelajah ke seluruh negara bertemu dengan pimpinan Umno bahagian bagi mendapat sokongan untuk menyokong Anwar supaya dilantik sebagai perdana menteri kelapan.
Dalam pertemuan yang diadakan secara tertutup itu, Nazri dilaporkan menerangkan strategi Umno untuk memberi sokongan kepada Anwar dan membentuk kerajaan baharu bersama Pakatan Harapan (PH).
Nazri dilaporkan mendakwa beliau mendapat mandat daripada Zahid untuk mengusahakan rundingan itu memandangkan Dr Mahathir berkeras mahukan Umno dibubarkan.
Bagaimanapun, Setiausaha Eksekutif BN Ahmad Masrizal Muhammad menafikan Zahid berunding dengan DAP bagi membentuk kerajaan baharu.
Masrizal berkata spekulasi yang berlegar di media sosial ketika itu berpunca daripada siri program pertemuan Nazri bersama pimpinan Bahagian Umno yang dieksploitasi oleh pihak berkepentingan.
Masrizal berkata perkara itu menimbulkan pelbagai tafsiran dan polemik politik yang songsang.
Bagaimanapun, usaha tersebut tetap menyebabkan ramai pemimpin dan wakil rakyat Umno keluar parti untuk menyokong PH, selain ahli biasa.
Susulan itu, memutuskan untuk bercuti apabila timbul desakan agar beliau meletak jawatan kerana gagal mengawal pemimpin dan ahli daripada keluar parti.
Beliau menyerahkan tugas presiden Umno kepada timbalannya, Mohamad Hasan bagi menamatkan polemik mengenai kepimpinannya dan juga supaya usaha memperkukuhkan parti terus berjalan.
Hujung bulan lalu, Zahid mengumumkan menamatkan cutinya sejak 18 Disember tahun lalu dan kembali menjalankan tugas presiden Umno berkuatkuasa serta merta. – 10 Julai, 2019.
Komen