MENTERI keretapi India mengarahkan pengurus stesyen “berbelanja apa yang perlu” bagi memastikan keselamatan penumpang ketika jumlah kematian disebabkan rempuhan yang berlaku di jejantas keretapi di Mumbai meningkat kepada 23 orang.
Pegawai keretapi mengatakan kejadian itu berlaku selepas ratusan orang berlindung di jejantas itu pada Jumaat bagi mengelak hujan lebat yang turun.
Ramai terbunuh kerana dipijak sampai mati, ada juga yang mati lemas dan terjatuh daripada jejantas itu. Puluhan lain yang cedera dikejarkan ke hospital berhampiran.
Kejadian itu menimbulkan persoalan terbaru mengenai aspek keselamatan di salah sebuah perkhidmatan keretapi terbesar di dunia yang bergelut untuk menambah baik infrastruktur dan keselamatan selepas beberapa kejadian maut berlaku sejak beberapa tahun lepas.
Menteri Keretapi Piyush Goyal pada Sabtu mengumumkan langkah untuk menilai dan meningkatkan keselamatan di jaringan keretapi pinggir bandar Mumbai yang mengangkur berjuta orang di pusat kewangan negara itu setiap hari.
Goyal berkata semua stesyen keretapi di Mumbai akan diperiksa dalam seminggu dan jejantas baru akan diluluskan pembiaan untuk stesyen yang sesak.
“Bagi menghapuskan karenah birokasi dan kelewatan, saya membenarkan GM (pengurus besar) untuk membelanjakan berapa sahaja yang diperlukan untuk keselamatan,” katanya melalui akaun Twitternya.
“Eskalator tambahan juga akan dibina di semua stesyen pinggir bandar Mumbai dan selepas itu untuk semua stesyen yang sesak penumpang,” kata menteri itu selepas mempengerusikan mesyuarat dengan pegawai tertinggi perkhidmatan keretapi negara.
Goyal yang dilantik oleh Perdana Menteri Narendra Modi bulan lepas menggantikan menteri sebelumnya susulan beberapa kemalangan maut berikrar akan melabur berbilion dolar bagi menjadikan perkhidmatan itu lebih selamat.
Hampir AS$8 bilion dijanjikan akan disalurkan untuk menambah baik perkhidmatan keretapi di Mumbai yang merupakan perkhidmatan awam terpenting untuk 20 juta penduduk bandar itu.
Sejumlah 7.5 juta pengguna menggunakan hampir 2,500 perkhidmatan keretapi setiap hari tetapi ratusan terbunuh disebabkan aspek keselamatan yang lemah dalam gerabak dan landasan.
Jumlah rasmi mengatakan 3,400 terbunuh pada 2016 sahaja disebabkan jatuh daripada gerabak atau dilanggar keretapi ketika melintasi landasan di perkhidmatan keretapi tersibuk di dunia itu.
Jumlah kematian kerana kejadian rempuhan terbaru meningkat kepada 23 orang selepas seorang lagi mangsa mati ketika menerima rawatan di hospital Ahad lalu.
Kejadian rempuhan itu adalah bencana terbaru yang melanda Indian Railways- perkhidmatan keretapi keempat terbesar dunia.
Bulan lepas, 23 orang terbunuh selepas sebuah keretapi tergelincir. Manakala, 150 orang pula terbunuh dalam kemalangan pada November tahun lepas. – AFP, 30 September, 2017.
Komen