KOLEJ di Universiti Oxford, tempat Aung San Suu Kyi pernah belajar menurunkan potret pemimpin Myanmar itu hari ini, keputusan yang dilakukan ketika kritikan kepadanya semakin memuncak disebabkan gagal bertindak dalam krisis Rohingya.
Potret itu yang sebelum ini dipamerkan di Kolej St Hugh diturunkan dan disimpan serta digantikan dengan sebuah lukisan karya pelukis Jepun, Yoshihiro Takada.
Penerima Hadiah Nobel Keamanan itu belajar di St Hugh dan menamatkan pengajian dalam bidang falsafah, politik dan ekonomi pada 1967 sebelum menyempurnakan sarjana dalam bidang politik pada 1968.
“Kami menerima lukisan baru awal bulan ini yang akan dipamerkan di pintu masuk utama untuk seketika,” kata kolej itu dalam satu kenyataan.
“Lukisan Aung San Suu Kyi pula dipindahkan ke lokasi selamat.”
Pihak universiti tidak mengatakan sama ada penurunan itu berkaitan dengan krisis yang sedang berlaku di Myanmar kini.
Keganasan kaum yang tercetus di negeri Rakhine, Myanmar itu bermula apabila militan Rohingya menyerang pusat kawalan polis pada 25 Ogos lepas.
Serangan balas tentera menyebabkan ramai terbunuh dan setengah juta penduduk Rohingya melarikan diri ke Bangladesh.
PBB menyifatkan situasi itu sebagai “pembersihan etnik”.
Penurunan lukisan yang dilukis pada 1997 oleh pelukis China, Chen Yanning itu dilakukan beberapa hari sebelum pendaftaran pelajar baru universiti itu.
Potret itu milik suami Suu Kyi, ahli akademik Oxford Michael Aris dan diberikan kepada kolej itu selepas kematian Michael pada 1999.
Antara alumni St Hugs ialah Perdana Menteri Britian, Theresa May. – AFP, 30 September, 2017.
Komen