Tiada kes dibincang dengan PM, kata Latheefa


Kalidevi Mogan Kumarappa

Ketua Pesuruhjaya SPRM Latheefa Koya berkata beliau hanya diberikan tempoh yang singkat untuk membuat keputusan berhubung pelantikannya. – Gambar The Malaysian Insight oleh Kamal Ariffin, 9 Julai, 2019

SEBAIK sahaja namanya diumumkan sebagai ketua pesuruhjaya agensi antirasuah, Latheefa Koya berkata beliau dapat menjangka akan menerima pelbagai reaksi negatif daripada orang ramai.

Bagaimanapun, beliau tiada pilihan selain bersetuju atas pelantikan mengetuai Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), katanya.

“Ia kejutan pada saya juga, sama ada saya sanggup menerima tawaran menjadi Ketua Pesuruhjaya SPRM. Ia bukan mudah. Akhirnya saya tiada pilihan (selain) bersetuju untuk pikul tanggungjawab.

“Saya hanya diberikan tempoh masa yang singkat untuk buat keputusan dan saya tidak berjumpa dengan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad sebelum pelantikan jawatan ini,” katanya.

Pelantikan itu bukan sahaja menerima kritikan pembangkang malah turut dipersoalkan kalangan pemimpin Pakatan Harapan kerana tidak selari dengan manifesto Pakatan Harapan untuk tidak melantik ahli politik ke jawatan awam utama.

Keputusan itu bagaimanapun dipertahankan oleh Dr Mahathir yang menegaskan ia dibuat mengikut kuasa dan budi bicaranya sebagai perdana menteri.

Mengulas lanjut, Latheefa berkata beliau hanya berpeluang berjumpa dengan Dr Mahathir selepas pemimpin itu pulang dari London pada Mei lalu, kata Latheefa.

“Itu adalah satu perjumpaan yang singkat kerana beliau baru balik dari London ketika itu. Kami tidak berbincang mengenai mana-mana kes.

“Beliau mengingatkan saya mengenai kuasa saya dan menyatakan saya perlu tahu untuk menggunakannya,” katanya dalam temubual khas bersama The Malaysian Insight.

Tambahnya, beliau kini memahami tugasnya itu banyak berkait rapat dengan bidang kerjayanya sebagai peguam hak asasi manusia.

“Tugas memerangi rasuah sebenarnya berkait rapat dengan hak asasi manusia. Tanpa menangani rasuah, banyak hak asasi manusia yang tercabul dan dinafikan.

“Kini, saya faham masyarakat tanpa rasuah adalah masyarakat yang hormati hak asasi. Ia berkait rapat,” katanya.

Pelantikan Latheefa berkuat kuasa pada 1 Jun untuk tempoh dua tahun. Beliau menggantikan Mohd Shukri Abdull yang menamatkan kontraknya lebih awal. – 9 Julai, 2019.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen