28 terbunuh di zon selamat Syria akibat serangan udara


Sekurang-kurangnya 28 orang awam terbunuh dalam serangan udara di bandar Armanaz, wilayah Idlib berhampiran sempadan Turki, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria. – Gambar AFP, 30 September, 2017.

SEKURANG-KURANGNYA 28 orang awam terbunuh dalam serangan udara di barat laut Syria di mana kawasan zon selamat yang dicadangkan dibayangi oleh kempen bom terhadap pemberontak, kata badan pemantau.

Empat kanak-kanak antara yang terkorban dalam serangan semalaman di bandar Armanaz, wilayah Idlib berhampiran sempadan Turki, kata Pemerhati Hak Asasi Manusia Syria.

Badan pemantau yang berpangkalan di Britain itu awal hari ini melaporkan 12 maut dalam serangan di bandar Harem, kira-kira 20km barat laut ibu kota Idlib.

Keseluruhan blok pangsapuri runtuh akibat dibom.

Badan pemantau itu berkata pada masa ini tidak dapat ditentukan sama ada serangan itu dilakukan oleh pesawat perang kerajaan Syria atau sekutunya Rusia.

Tetapi mereka mengukuhkan lagi kempen serangan udara baru-baru ini terhadap pemberontak yang mengawal hampir keseluruhan wilayah itu dan bukan sebahagian daripada pihak mencadangkan zon selamat digerakkan oleh Rusia, Turki dan Iran.

Presiden Rusia Vladimir Putin dan rakan sejawatnya di Turki Recep Tayyip Erdogan pada Khamis bersetuju untuk lebih berusaha menubuhkan zon selamat di Idlib.

Tiga zon selamat lain sudah ditubuhkan iaitu di Ghouta timur di Damascus, sebahagian kawasan di selatan dan wilayah tengah Homs.

Tetapi di beberapa kawasan di zon berkenaan pergaduhan masih berterusan. Pada Sabtu lalu, sekurang-kurangnya 12 orang awam di timur Ghouta terkorban, dengan lebih separuh adalah kanak-kanak. – AFP, 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen