Tanah kekal milik peneroka walau digabung, kata menteri


Diyana Ibrahim Chan Kok Leong Lee Chi Leong

Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali berkata, langkah penggabungan tanah itu dilakukan berdasarkan dari sudut ekonomi yang lebih menguntungkan berbanding polisi sedia ada.– Gambar Th Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 8 Julai, 2019

TANAH di kawasan rancangan Felda kekal menjadi milik peneroka walaupun selepas digabungkan menjadi estet besar, kata Menteri Hal Ehwal Ekonomi Azmin Ali.

Katanya, langkah penggabungan tanah itu dilakukan berdasarkan dari sudut ekonomi yang lebih menguntungkan berbanding polisi sedia ada yang memberi 10 ekar kepada setiap peneroka.

“Tidak ada (penukaran hak milik). Pemilikan tetap (hak) peneroka tapi sekarang pemilikan terlalu kecil, tidak ada skala ekonomi di situ.

“Sebab itu kita cadang supaya tanah ini dicampurkan dan kita boleh tingkatkan produktiviti,” katanya kepada pemberita di lobi Parlimen.

Beliau mengulas mengenai kenyataan Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengenai usaha penggabungan tanah Felda di bawah model baharu yang dilancarkan semalam.

Kerajaan mengumumkan langkah itu bagi mengelakkan pendapatan peneroka merosot akibat harga komoditi yang tidak menentu.

Jelas Azmin, usaha itu juga dibuat memandangkan ramai peneroka yang meningkat usia tidak lagi mampu menguruskan ladang mereka.

“Kita juga dimaklumkan 70 peratus peneroka sudah berusia 60 tahun ke atas. Mereka tidak ada kapasiti untuk terus bekerja di ladang tersebut.

“Jadi sekarang kita akan menyediakan mereka dengan teknologi baru,” katanya yang menambah projek perintis ke atas usaha itu akan dimulakan. – 8 Julai, 2019


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen