MENTERI Hal Ehwal Ekonomi Mohamed Azmin menafikan diejek peneroka Felda ketika berucap dalam Majlis Sambutan Hari Peneroka 2019 di Felda Selancar 3, Rompin Pahang semalam.
Beliau berkata sorakan yang didengari itu bukan ditujukan kepadanya tetapi berpunca daripada satu kekecohan kecil yang berlaku di majlis tersebut.
“Tidak ada, saya ada sana. Saya beri ucapan, agak panjang. Tapi yang saya tahu ada gangguan di belakang namun bukan terhadap saya.
“Saya rasa ada kekecohan di belakang, tapi saya tak tahu mengenai itu,” katanya kepada wakil media di lobi Parlimen hari ini.
Azmin mengulas satu rakaman video menunjukkan peserta bersorak ketika beliau menyampaikan ucapan di majlis tersebut.
Katanya, kerajaan menerima sokongan penuh daripada peneroka dan buktinya adalah kejayaan acara tersebut semalam yang disifatkan paling terbesar pernah diadakan.
“Ia amat berjaya, hakikatnya ramai yang datang dari Sabah, Perlis di seluruh negeri datang untuk meraikan perdana menteri dan usaha kerajaan seperti mana dibentangkan dalam kertas putih.
“Ia mencerminkan sokongan daripada peneroka Felda mengenai model baharu ini.
“Dan sebab itu perdana menteri gunakan ruang itu untuk menyakinkam dan mengupas tentang apa dimaksudkan model baru Felda,” katanya.
Dalam majlis itu semalam, Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kerajaan antara lain akan menggabungkan tanah peneroka Felda untuk dijadikan satu ladang besar.
Ia bagi membolehkan kawasan tersebut diusahakan dengan tanaman berbeza untuk mengelakkan peneroka terjejas dengan kejatuhan harga kelapa sawit. – 8 Julai, 2019.
Komen