PELAWAAN Dr Mahathir Mohamad kepada parti Melayu untuk menyertai Bersatu adalah salah satu cara menguatkan kedudukan politik parti itu, kata Presiden Amanah Mohamad Sabu.
Menteri pertahanan itu berkata perdana menteri berhak membuat pelawaan tersebut dan terpulang kepada parti lain sama ada mahu menerima atau menolak.
“Memanglah parti politik beliau, beliau mahu partinya kuat. Itu biasa. Dan itu hak ahli parti lainlah untuk (sertai).
“Bagaimanapun orang-orang Melayu mesti ada kekuatan, tertutamanya dalam PH (Pakatan Harapan) supaya kerajaan dibentuk seimbang dan dilihat lebih kuat, pada masa akan datang,” katanya.
Tambahnya beliau tidak tahu jika perkara itu akan dibincangkan dalam Mesyuarat Majlis Presiden PH, namun ahli bebas untuk membangkitkan isu tersebut.
Beliau mengulas pelawaan Dr Mahathir pada 5 Julai lalu dalam usaha menyatupadu dan memperkasakan kuasa politik orang Melayu.
Menurutnya lagi, beliau juga sedang giat memujuk ahli PAS untuk menyertai PH.
“Saya sendiri sedang berusaha, termasuk pergi ke kubu kuat PAS di Kedah misalnya, supaya mereka menyertai PH untuk terus kekal memerintah pada pilihan raya umum akan datang,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama antara PAS dan Umno, menteri itu mendakwa perkara itu menyebabkan sokongan Melayu semakin meningkat terhadap PH.
“Sokongan orang Melayu kepada PH semakin meningkat, terutamanya selepas sahnya ‘perkahwinan’ PAS dan Umn,” katanya. – 8 Julai, 2019.
Komen