SISTEM lapuk dan dasar pincang menjadi halangan untuk Malaysia melaksanakan pembaharuan sistem pendidikan yang berkesan, kata pendidik.
Mereka juga meluahkan kekecewaan dengan kegagalan kerajaan baharu untuk melaksanakan pembaharuan pendidikan dan sebaliknya meneruskan dasar sedia ada.
Bagi pendidik Dr Yoong Suan, pengumuman dasar kerajaan juga kurang jelas dalam aspek pembaharuan yang ingin dijalankan dan ukuran pelaksanaan yang praktikal.
“Sukar untuk melihat sama ada kerajaan baharu ingin mewujudkan pembaharuan pendidikan atau seperti mana lazimnya, hanyalah langkah jangka pendek yang akhirnya akan gagal,” katanya kepada The Malaysian Insight.
Bekas pensyarah Pusat Pengajian Ilmu Pendidikan Universiti Sains Malaysia itu juga merujuk kepada langkah pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran dalam Bahasa Inggeris untuk Sains dan Matematik (PPSMI) yang dilakukan Dr Mahathir Mohamad dahulu sebagai contoh langkah tergesa-gesa dibuat tanpa kajian mendalam.
Kajian selepas itu mendapati wujudnya masalah besar PPSMI sehingga memaksa Kementerian Pendidikan menghentikan pelaksanaannya.
“Salah tindakan bukan hanya membazirkan wang dan sumber negara, dalam jangka masa panjang, tetapi pelajar juga jadi mangsa.”
Pembaharuan pendidikan perlu dirancang dengan sistematik, katanya.
Paling utama adalah pembuat dasar perlu faham matlamat, sebab dan keperluan pembaharuan serta sasaran pihak berkepentingan.
Langkah itu juga perlu disokong kajian dan analisis, kata Yoong, yang mencadangkan tinjauan dibuat untuk mengumpul maklum balas.
“Perlu juga merujuk kepada model luar yang relevan, mengadakan seminar terbuka dan menjemput pakar dalam dan luar negara untuk mengasah idea bagi mewujudkan pelan induk pembaharuan dengan butiran terperinci program dan strategi. Ia juga perlu melibatkan tempoh masa pelaksanaan yang sesuai.”
Yoong berkata kerajaan juga perlu melaksanakan percubaan sebelum pelaksanaan sepenuhnya setiap dasar.
Tambahnya, data yang perlu dikutip ketika tempoh percubaan akan menguji keberkesanan dan menangani semua kelemahan.
Penglibatan pelajar dan guru juga adalah aspek penting dalam pelaksanaan pembaharuan pendidikan.
Kerajaan perlu meneliti aspek pembangunan kurikulum dan menjemput pakar bidang lain untuk membantu pembangunan dasar, tambahnya.
Bagi ahli akademik Tan Shi Yong, banyak dasar pendidikan hanya hebat di atas kertas tetapi tidak praktikal.
Penyuraian kuasa yang kini berpusat di kementerian, memberikan lebih autonomi kepada pengurusan sekolah dan pengetua atau guru besar untuk membuat keputusan selari dengan trend dunia, dan meletakkan kreativiti sebagai pusat pembaharuan, adalah langkah yang perlu diambil, katanya.
“Memanglah dasar utama perlu digubal Kementerian Pendidikan tetapi pada tahap eksekutif, pengetua perlu diberikan lebih autonomi berbanding hanya terima arahan daripada pihak atasan seperti mana dahulu.” – 12 Julai, 2019.
Komen