Menunggu kemuncak Fastaqim, ahli PAS sambut ‘hari keluarga’


Pelbagai pertandingan dan acara diadakan dalam program Fastaqim anjuran PAS di Tok Jembal, Kuala Terengganu. – Gambar The Malaysian Insight oleh Nazir Sufari, 30 September, 2017.

KANAK-KANAK sedang bermain pakaian beragam ketika matahari mula naik di pantai Kuala Terengganu, menambah kehangatan di tepi laut Tok Jembal.

Ada yang berpakaian seperti doktor, lengkap dengan stetoskop plastik, menang untuk pertandingan kostum terbaik untuk kanak-kanak berumur enam hingga 12 tahun.

Abang dan kakak mereka, ada yang memakai niqab hanya memerhatikan.

“Si cilik, si cilik, tengok sini,” panggil ibu bapa mereka ketika merakamkan aksi anak di atas pentas besar di mana pemimpin PAS akan tampil malam ini.

Di belakang pentas, di sepanjang pantai, golongan lelaki masuk pertandingan memancing dengan hadiah untuk tangkapan terbesar ialah RM7,000.

Orang ramai membanjiri “fastaqim” anjuran PAS itu dengan hampir 10,000 penyokong datang ke program yang bertukar menjadi acara komersial itu.

Acara itu dimeriahkan dengan hadiah cabutan nombor bertuah. Harga barangan dijual di situ dengan harga lebih rendah kerana peniaga hendak menghabiskan stok sebelum malam menjelang.

Mujahidin, seorang sukarelawan PAS di situ, tidak tahu berapa ramai pengunjung di tapak itu, yang dikawal oleh lebih 3,000 pengawal keselamatan dari parti Islam itu.

“Tapi kami yakin jumlah pengunjung akan cecah 200,000 malam ini, sudah pasti,” katanya.

Jumlah yang terlalu ramai sekarang menyebabkan capaian Internet semakin sukar.

“Kami terpaksa keluar dari kawasan ini untuk dapatkan akses Internet,” Khairol Azli Mohamad, yang membantu berkaitan media.

Wartawan, jurugambar dan juruvideo sukar juga mendapatkan lokasi yang ada signal Internet.

Khairol, seorang pegawai perunding dasar di pejabat exco perumahan dan pembangunan luar bandar negeri, terpaksa keluar dari kawasan itu untuk mendapatkan akses Internet.

Dia menunggang motosikal saja kerana keadaan lalu lintas di situ terlalu sesak, dengan ribuan kenderaan tersekat dalam kesesakan sehingga sejauh menuju ke lapangan terbang Sultan Mahmud.

Malam ini, PAS dijangka membuat beberapa pengumuman penting yang mungkin menyaksikan sama ada akan berlaku pertandingan beberapa penjuru bagi hampir separuh kerusi di pilihan raya umum akan datang.

Khabar angin lain yang turut bertebaran ialah bekas menteri besar Selangor Khalid Ibrahim mungkin menyertai PAS.

Mohd Nordin, ahli seumur hidup parti itu yang datang dari Kuantan bersama seorang kawan, berkata dia tidak yakin dengan peluang PAS jika berlaku pertandingan tiga penjuru.

“Peluangnya 50-50,” katanya.

“Ekonomi negara tidak begitu baik dan dengan isu cukai barangan dan perkhidmatan (GST), PAS mungkin dapat undi.

“Tetapi parti lain pun mungkin diundi juga (Pakatan Harapan),” katanya.

Mengenai kemungkinan Khalid menyertai PAS, Nordin berkata akan ada kelebihan jika benar ia berlaku.

“Khalid popular. Ia perkara yang positif. Mungkin akan ada kejutan lain juga,” katanya merujuk kepada ucapan Presiden PAS Abdul Hadi Awang malam ini. – 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen