AHMAD ZAHID HAMIDI menyelar pemimpin Umno tertentu yang masih “gila talak” kerana mempersoal keputusannya untuk untuk kembali menjalankan tugas sebagai presiden parti.
Tegasnya, beliau tidak akan berundur kerana dipilih secara sah untuk menjadi presiden parti walau kini berhadapan dengan 87 pertuduhan di mahkamah.
Beliau juga kesal kerana tuntutan itu disuarakan oleh pemimpin yang mencabar beliau dalam pemilihan parti untuk jawatan tersebut.
“Masa saya dikenakan 47 kes, saya lihat kawan-kawan turut tekan sekali, berhentilah presiden. Yang kalah tanding presiden pun desak ‘berhentilah presiden’. Sudah kalah, kalahlah. Yang kamu gila talak kenapa?
“Yang ini bila saya balik pun dia cakap ianya perlu dibincangkan dalam Majlis Tertinggi. Masa desak saya berhenti dahulu, tidak minta pula minta dibincangkan dalam Majlis Tertinggi?
“Ini hak saya. Saya dipilih sebagai presiden Umno yang sah. Bukan untuk riak atau takabur. Apa jua yang berlaku terhadap saya, saya tidak akan berundur ke belakang,” katanya.
Zahid menegaskan demikian ketika merasmikan mesyuarat Umno bahagian Tambun di Bangunan Umno Perak di Ipoh.
Ia dipercayai merujuk kepada kenyataan bekas ketua Pemuda Umno, Khairy Jamaluddin yang masih meminta agar MT Umno membincangkan kedudukan Zahid Hamidi sebagai presiden parti.
Khairy tidak bersetuju perkara itu diputuskan Zahid sendirian kerana tugas itu digalas oleh MT dan juga timbalan presiden, Mohamad Hasan sepanjang percutian presiden tersebut.
Zahid menyerahkan tugas presiden kepada Mohamad pada Disember ekoran tekanan dari luar dan dalam parti apabila didakwa dengan kes rasuah, salah guna kuasa dan pengubahan wang haram di mahkamah.
Ahad lalu, Ahmad Zahid Hamidi mengumumkan bahawa beliau menamatkan cutinya untuk kembali bertugas sebagai presiden Umno berkuatkuasa serta merta. – 7 Julai, 2019.
Kenapa masih gila talak, soal Zahid
Komen