Menteri kesihatan Trump letak jawatan


Menteri kesihatan Amerika Syarikat Thomas Price menghantar peletakan jawatannya hari ini dan presiden terima. – Gambar AFP, 30 September, 2017.

MENTERI kesihatan pentadbiran Presiden Amerika Syarikat (AS) Donald Trump dipaksa meletak jawatan ketika skandalnya menggunakan jet peribadi untuk urusan kerajaan hangat diperkatakan.

“Setiausaha Perkhidmatan Manusia dan Kesihatan Thomas Price menghantar peletakan jawatan hari ini dan presiden menerimanya,” kata Setiausaha Akhbar Rumah Putih, Sarah Huckabee Sanders dalam satu kenyataan.

Pengumuman itu dibuat kurang daripada sejam selepas Trump memberitahu wartawan yang Price tidak diarahkan untuk meletak jawatan tetapi nasibnya akan ditentukan semalam.

“Presiden bercadang melantik D J. Wright memangku jawatan setiausaha berkuat kuasa 11.59 tengah hari pada 29 September,” kata Sanders.

Wright ketika ini timbalan menteri kesihatan dan Price dikatakan berusaha keras untuk mempertahankan jawatannya yang dipegang kurang daripada lapan bulan.

Menurut sumber politik, secara keseluruhan Price dikatakan menaiki 24 penerbangan jet peribadi secara berasingan yang menelan kos hingga AS$400,000 (RM1.7 juta).

Price dikatakan cuba menutup skandalnya dengan membayar balik jumlah sebahagian kecil wang yang sudah dibelanjakan untuk perjalanannya. – AFP, 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen