NAJIB Razak percaya dirinya masih popular dalam kalangan rakyat kerana kerajaan Pakatan Harapan gagal menunaikan janji yang ditabur semasa Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU14).
Bekas perdana menteri itu yang kini berdepan puluhan tuduhan di mahkamah berkata kempen menjenamakan dirinya dengan gelaran “Bossku” itu tidak akan berjaya jika PH tidak mungkir janji.
Najib mendakwa selepas lebih setahun kerajaan PH memerintah, golongan pengundi kini sedar bahawa mereka ditipu dengan janji-janji manis sebelum pilihan raya.
“Mengapa pada hari ini kita semakin diterima oleh rakyat? Bossku pun diterima oleh rakyat dan orang muda walaupun saya tidak ada lesen motorsikal. Saya boleh jadi ikon untuk orang muda.
“Fenomena Bossku tidak jadilah kalau PH tunaikan janji. Sekarang orang muda kata PH tidak boleh harap, kaki kelentong, tunggu pilihan raya akan datang,” katanya.
Antara janji yang sering diungkit adalah menghapuskan tol dan juga menangguh bayaran balik pinjaman pendidikan bagi peminjam bergaji bawah RM4,000.
Najib yang kini disekat dari keluar negara menggerakkan kempen mempromosi dirinya dengan gelaran “Bossku” sejak Januari lalu melalui acara untuk mendekati rakyat.
Antara bahan kempen tersebut adalah ilustrasi menunjukkan Najib menaiki motosikal dengan slogan “Malu Apa Bossku” yang disebarkan di media sosial.
Seterusnya, Najib dalam ucapan semasa merasmikan mesyuarat Umno bahagian Ampang hari ini mendakwa penipuan yang dilakukan PH menjadi hikmah kepada pembangkang.
“Mungkin ada hikmahnya bila rakyat sekarang boleh buat perbandingan. Dahulu tidak boleh, ingat menteri PH yang ada ini dulu hebat.
“(Tetapi) ini kelemahan sistem demokrasi kita. Kita hendak betulkan kena tunggu lima tahun. Itu sebab orang tidak sabar-sabar hendak keluar mengundi sekarang ini,” katanya. – 6 Julai, 2019.
Pakatan mungkir janji buat Najib rasa popular
Komen