Melayu pecah sebab Dr Mahathir lawan Umno, kata Najib


SM Amin

Orang Melayu berpecah kerana Dr Mahathir Mohamad lawan Umno, kata Najib Razak hari ini. – Gambar The Malaysian Insight oleh Seth Akmal, 6 Julai, 2019.

ORANG Melayu kini berpecah disebabkan Dr Mahathir Mohamad menubuhkan parti baharu untuk menjatuhkan Umno, dakwa bekas presiden parti itu Najib Razak.

Katanya, parti Melayu paling kuat itu akhirnya tumbang kerana dijatuhkan Dr Mahathir yang bersekongkol dengan parti lain dalam Pakatan Harapan.

“Dia yang tubuh parti tambahan dan dia yang bersekongkol dengan pihak lain. Saya akan keluarkan komen rasmi selepas saya dengar komen DAP, PKR dan Amanah.

“Umno adalah parti Melayu terbesar, terkuat,” katanya kepada pemberita selepas merasmikan mesyuarat Umno Bahagian Setiawangsa di Ampang, hari ini.

Beliau mengiyakan apabila ditanya pemberita sama ada Dr Mahathir antara punca orang Melayu berpecah selepas menubuhkan Bersatu pada 2016 untuk menentang Umno dan Barisan Nasional.

Pemberita mengajukan soalan itu bagi mendapatkan reaksi Najib ke atas pelawaan Dr Mahathir kepada parti politik Melayu untuk menyertai Bersatu bagi menguatkan kuasa politik kaum itu.

Perdana menteri mengajukan demikian kerana menurutnya, pada ketika ini parti politik masyarakat Melayu terbahagi kepada enam kelompok disebabkan ketamakan kelompok dalam Umno.

“Dulu hanya ada satu parti Melayu iaitu Umno, tapi kerana tamakkan kedudukan, hari ini orang Melayu berpecah enam.

“Bukan lagi majoriti 60%, tapi setiap parti hanya 10% sahaja. Saya harap bekas Umno yang masih dalam Umno perlu ingat, kita perlu bersatu untuk berjuang apa pun,” katanya. – 6 Julai, 2019.

MENYUSUL


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen