Bola sepak selamatkan keluarga saya, kata N. Thanabalan


Ravin Palanisamy Kamal Ariffin

N. THANABALAN sedar beliau mungkin menjadi pemandu lori atau pekerja kilang yang terpaksa bergelut untuk menampung keluarganya, jika bukan kerana bola sepak.

Kini, insan berusia 22 tahun yang menjadi sebutan ramai itu, sangat berterima kasih kepada Sukan SEA ke-59 anjuran Malaysia.

Kehadiran Thanabalan mula menjadi penting selepas menjaringkan gol penting dalam pertandingan separuh akhir yang sangat sengit menentang Indonesia, dan akhirnya menjanjikan laluan untuk pasukan negara ke melangkah peringkat akhir.

Beliau juga cemerlang ketika menentang Singapura dan Myanmar.

Bagaimana agaknya beliau menangani keadaan kecemerlangannya yang tiba-tiba datang?

Penyerang yang rendah diri dan lemah lembut ketika bercakap itu sudah pun melaporkan diri kembali bertugas dengan Kelab Bola Sepak Felcra.

Ikuti temu bualnya bersama The Malaysian Insight, bercerita mengenai betapa sukar kehidupannya sebelum kejohanan itu.

Pada 2013, Thanabalan yang ketika itu berusia 18 tahun mengambil alih tugas bapanya sebagai pencari nafkah untuk keluarga. Bapanya, Nadarajah terbabit dalam kemalangan jalan raya ketika ke tempat kerja sehingga menyebabkannya lumpuh dari dada ke bawah.

Selain bapanya, Thanabalan juga perlu menjaga ibunya V. Thirusundari seorang suri rumah dan dua adik beradiknya, Kheeteeswaran,19, dan Keerthikaa, 13, yang masih belajar.

“Sebelum ini, saya rasa tidak ada sesiapa pernah dengar tentang saya tetapi selepas Sukan SEA, semua orang kenal saya, keluarga saya dan situasi kami.

“Saya dari keluarga yang kecil, miskin dan bergelut dengan kehidupan,” katanya yang menandatangani kontrak profesional dengan Negeri Sembilan pada usia 18 supaya beliau dapat membayar rawatan perubatan bapanya dan menanggung keluarga.

Katanya, tiada cerita hebat di sebalik minatnya terhadap sukan itu. Seperti kebanyakan budak lelaki, beliau bermain bola sepak kerana ia menyeronokkan.

“Masa saya kecil, sama seperti ibu bapa lain, ibu bapa saya suruh saya jangan main bola sepak dan fokus pada pelajaran.

“Tetapi semuanya berubah bila saya dipanggil untuk mewakili negara bagi pasukan bawah 12 tahun,” katanya.

Thanabalan bersekolah rendah di Sekolah Rendah Seremban Jaya. Dan kerana bola sepak, beliau pada usia muda ditawarkan untuk melanjutkan pelajaran menengah di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail (dulu dikenali sebagai Sekolah Sukan Bandar Penawar) di Kota Tinggi Johor.

Beliau kemudian menyertai pasukan Negeri Sembilan dan kini dipinjamkan ke Felcra FC sebagai penyerang.

Thanabalan membuat keputusan untuk menyertai Felcra FC bagi menimba pengalaman. Ia memerlukannya berulang alik ke Kuala Lumpur untuk menjalani latihan dan kerap pulang ke Seremban untuk bersama keluarganya.

“Saya tahu saya tidak akan dapat masuk kesebelasan utama untuk pasukan Negeri Sembilan dan tahun ini sangat penting kerana kita ada Sukan SEA.

“Saya perlu bermain 90 minit dalam setiap perlawanan kalau boleh, jadi itu sebabnya saya putuskan untuk menyertai Felcra FC,” katanya.

Beliau sangat gementar ketika pemilihan senarai akhir pemain mewakili pasukan negara dalam Sukan SEA kerana persaingan amat sengit, dan terlalu gembira selepas terpilih.

Mereka menyasarkan emas pada Sukan SEA, tetapi Thanabalan berkata pasukannya tidak cukup bertuah untuk menjulang emas walaupun pencapaian di peringkat kumpulan dan separuh akhir amat baik.

Katanya, beliau berharap mereka akan kembali semula, lebih kuat pada kejohanan dan perlawanan lain yang akan datang.

“Kami mahu menang emas di negara sendiri tapi kami tidak bernasib baik. Kami juga sedikit patah hati kerana Ultras Malaysia tidak ada di stadium. Itu mematahkan semangat kami juga,” katanya.

Sejak itu nama Thanabalan mencuri perhatian beberapa kelab luar negara, terutama dari Thailand. Beliau enggan bercakap mengenai perjanjian di luar negara, tetapi mengakui tawaran seperti itu tidak datang dengan mudah.

“Bukan senang hendak dapat tawaran dan bermain di liga seperti itu. Jika ada tawaran yang bagus dan kukuh, mungkin saya akan pertimbangkan.

“Tetapi buat masa sekarang, saya fokus untuk menimba pengalaman di sini dan mungkin pada masa depan saya boleh bermain dalam Liga Perdana Malaysia atau Liga Super,” katanya.

Thanabalan kini sudah jadi selebriti. Bila berada di tempat awam, peminat akan menegurnya dan minta bergambar. Beliau rasa itu pengalaman yang luar biasa.

“Mereka dengan sopan minta kebenaran saya sebelum ambil gambar. Kadangkala ada yang minta saya berposing ketika sedang makan. Saya ok saja kerana mereka sangat baik terhadap saya,” katanya.

Bagi setiap kejayaan dan pengiktirafan yang dicapainya, pemuda yang sering merendah diri itu berkata ia kerana tuah dan kesungguhan. Hasratnya hanya untuk memberikan kehidupan lebih baik untuk keluarganya.

“Saya bertuah kerana saya main bola sepak sekarang. Saya boleh meneruskan hidup. Mungkin pada masa depan, bila saya bersara, mungkin saya akan jadi jurulatih atau berniaga sendiri,” kata Thanabalan. – 30 September, 2017.


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen