“MINTA maaf dulu, baru boleh sambung kritik,” kata Najib Razak kepada Fahmi Fadzil yang mengecamnya kerana mengkritik sikap tolak ansur kerajaan Pakatan Harapan.
Najib merujuk kepada laporan The Malaysian Insight sebelum ini yang berkata pengarah komunikasi PKR itu perlu meminta maaf kerana mengaitkannya dengan skandal salah guna peruntukan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim).
“Antara yang kritik saya dalam laporan berita ini adalah Ahli Parlimen Lembah Pantai Fahmi Fadzil,” katanya menerusi sebuah catatan di Facebook.
“Fahmi dah minta maaf kepada saya kerana sebar fitnah bahawa saya menyeleweng duit anak yatim dari Yapeim ke?
“Minta maaf dulu, baru boleh sambung kritik.”
Fahmi sebelum ini memberitahu The Malaysian Insight yang aneh untuk Najib mendakwa pakatan pemerintah tidak bertolak ansur dan tidak adil kerana tidak membenarkan penangguhan kesnya untuk menghadiri sidang Parlimen.
Awal minggu ini, permohonan Najib untuk menangguhkan perbicaraan kes SRC International yang sedang berjalan bagi menghadiri sidang Parlimen ditolak mahkamah, mencetuskan kritikannya terhadap keputusan itu, mendakwa sepanjang pentadbiran BN dahulu, wakil rakyat pembangkang dibenarkan menangguhkan perbicaraan kes mahkamah mereka menggunakan alasan sama.
“Tapi dulu korang selalu tuduh kerajaan BN yang mengenakan hukuman mahkamah ke atas pelbagai pemimpin PH seperti mendiang Karpal Singh, Guan Eng, Mat Sabu dan bakal PM ke-8 (Anwar Ibrahim),” tulis Najib lagi dalam catatan Facebook terbaru itu.
The Malaysian Insight sedang menghubungi Fahmi untuk mendapatkan ulasan. – 6 Julai, 2019.
Komen