Ancaman pengganas terkawal, namun gereja dinasihatkan terus waspada


Alfian Z.M. Tahir

Polis mendedahkan terdapat tangkapan dan laporan risikan mengenai rancangan untuk melancarkan serangan di tempat ibadat dan menasihatkan pihak gereja meningkatkan kawalan keselamatan. – Gambar fail The Malaysian Insight, 6 Julai, 2019.

SEMUA gereja di Malaysia dinasihatkan meningkatkan langkah keselamatan memandangkan ancaman serangan oleh pelampau masih wujud, walaupun keadaan kini terkawal.

Nasihat itu datang daripada Ketua Penolong Pengarah Bahagian Anti Pengganas (E8) Cawangan Khas Bukit Aman, Ayob Khan Mydin Pitchay semasa taklimat untuk pemimpin Kristian dari seluruh negara di sebuah gereja di Subang Jaya, Selangor awal minggu ini.

Ayub memberitahu perhimpunan yang melibatkan kira-kira 350 pemimpin gereja bahawa ancaman serangan oleh pelampau masih ada, tetapi terkawal.

Beliau berkata polis berjaya menghalang beberapa percubaan untuk menyerang tempat ibadat, tetapi juga menggesa pihak gereja agar terus berhati-hati.

Ayub memberitahu The Malaysian Insight ucapannya kepada pemimpin Kristian menyentuh isu keganasan dan keselamatan negara.

“Taklimat saya adalah sebagai peringatan kerana terdapat tangkapan dan laporan risikan mengenai rancangan untuk melancarkan serangan di tempat ibadat.

“Saya bercakap mengenai pentingnya langkah keselamatan di gereja.

“Contohnya, perlu ada CCTV yang berfungsi dan lampu mencukupi. Mereka perlu melaporkan kepada polis jika ada individu yang mencurigakan di kawasan itu,” katanya.

Taklimat itu dianjurkan oleh National Evangelical Christian Fellowship (NECF), satu pertubuhan gereja evangelikal di Malaysia.

Pengerusinya Rev Eu Hong Seng berkata beliau berterima kasih kepada Polis Diraja Malaysia dan kerajaan kerana mengambil inisiatif untuk memastikan gereja mengikut perkembangan terkini situasi di negara ini.

“Perkara ini (taklimat) bermula kerana berlakunya kekerasan di beberapa tempat baru-baru ini,” kata Eu kepada The Malaysian Insight.

“Mereka menasihatkan kami mengenai langkah untuk meningkatkan keselamatan,” katanya, menolak untuk mengulas lanjut.

Polis baru-baru ini mendedahkan rancangan oleh suspek pengganas untuk menyerang tempat ibadat di sini.

Perkara Ini datang selepas serangan di beberapa gereja di Sri Lanka pada Hari Easter yang mengorbankan lebih 150 nyawa. – 6 Julai, 2019.

Berita penuh di sini


Daftar atau log masuk di sini untuk komen.


Komen