AHLI Umno akan diserap menjadi ahli Barisan Nasional sekiranya parti itu diharamkan oleh kerajaan susulan dakwaan menerima wang daripada 1MDB, kata Timbalan Presiden Umno, Mohamad Hasan.
Mohamad berkata beliau akan membantu Presiden Umno, Ahmad Zahid Hamidi keluar dari kemelut tersebut berdasarkan kajian kemungkinan senario yang akan berlaku yang telah dibuat oleh parti sebelum ini.
“Kalau dibubar pun Umno, kita ada cara untuk kita keluar. Kita masuk rumah yang lebih besar dahulu. Kita rehat di situ dahulu sementara kita mendaftar parti baharu.
“Kalau tidak boleh daftar parti baharu, kita beli parti-parti yang ada. Ataupun kita guna parti yang sudah sinonim dengan kita, Barisan Nasional. Kita masuklah Barisan Nasional, apa masalah.
“Ini saya cakap di Jerai. Saya tidak sepatutnya cakap kerana ini strategi tetapi saya hendak yakinkan ahli-ahli Umno supaya jangan risau,” katanya ketika merasmikan Mesyuarat Perwakilan Umno Bahagian Jerai, hari ini.
Menurut Mohamad, Umno telah merangka strategi tersebut selepas Perdana Menteri Dr Mahathir Mohamad menyatakan Umno bakal berkubur ketika berada di New York September tahun lalu.
Jelasnya, sebahagian daripada strategi itu telah digunakan dalam Pilihan Raya Kecil (PRK) Cameron Highlands apabila Ramli Mohd Nor dijadikan sebagai ahli Barisan Nasional sebelum dicalon untuk mewakili parti itu.
“Saya sudah mulakan iaitu calon Cameron Highlands, kita jadikan dia sebagai ahli BN. BN ini biasanya ahlinya adalah parti tetapi kita sudah buat (individu jadi ahli).
“Kita masuk ramai-ramai dalam BN, buat elok-elok lepas itu kita cuba daftar parti baharu. Kalau tidak boleh pun tidak apa. Kita lalui PRU15 ini di atas nama BN dan menang menjadi kerajaan, kita tubuhkan Umno 3.0,” katanya.
Mengulas mengenai kerjasama Umno dengan PAS, Mohamad meminta ahli supaya fokus dengan perpaduan ummah terutamanya di peringkat akar umbi kerana ia masih lagi diperingkat awal.
“Janganlah kita hendak cepat sangat bercakap pasal kerusi. Biarlah diurus oleh presiden kita Zahid dengan presiden PAS Abdul Hadi yang berunding cara mana yang terbaik untuk kita melihatkan pembahagian kerusi dibuat dengan adil.
“Saya yakin dengan formula yang ada, cara berunding yang baik, dengan ketelusan hati kita, saya yakin kerjasama Umno-PAS ini akan membuahkan satu hasil yang sangat baik. Di Kedah kita akan menjadi kerajaan selepas PRU15,” katanya. – 5 Julai, 2019.
Komen